Luqman, Hadi Fayyadh dapat panggilan Maloney


  • Podium
  • Ahad, 17 Apr 2022

Luqman Hakim (kiri) dan Hadi Fayyadh (kanan) dijangka jadi sandaran Harimau Muda pada Sukan SEA kelak. — Facebook

DUA pemain yang beraksi di luar negara, Luqman Hakim Shamsudin dan Hadi Fayyadh Abdul Razak merupakan antara 31 pemain yang dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad Bawah 23 Tahun (B-23) bagi persiapan menjelang Sukan SEA Vietnam.

Luqman Hakim dan Hadi Fayyadh sebelum ini dikritik segelintir pihak kerana gagal beraksi cemerlang bersama kelab masing-masing meskipun sudah berkelana di luar negara selama beberapa tahun.

Luqman Hakim turut dikritik kerana gagal mempamerkan aksi terbaik bersama skuad senior kebangsaan.

Luqman Hakim kini beraksi bersama kelab Belgium, KV Kortrijk manakala Hadi Fayyadh bersama kelab Jepun, Azul Claro.

Daripada senarai berkenaan, Maloney memanggil semula 19 pemain daripada skuad Malaysia yang layak ke Piala Asia B-23 2022 selepas muncul juara Kumpulan J dalam saingan kelayakan di Ulaanbaatar, Mongolia pada 25 hingga 31 Oktober tahun lalu.



Arif Aiman (kiri) tidak tersenarai dalam skuad Maloney. — AP

Turut tersenarai dua pemain daripada skuad yang beraksi pada Kejuaraan B-23 AFF 2022 di Phnom Penh, Kemboja pada 14 hingga 26 Februari lalu iaitu Ubaidullah Shamsul Fazili (Skuad Projek FAM-MSN) dan A. Selvan (Negeri Sembilan).

Baki 10 lagi pemain yang juga dipanggil kali ini adalah Danial Asri, Syahir Bashah dan Aliff Haiqal (Selangor), Daryl Sham dan Ahmad Aysar Hadi (JDT II), Rahadiazli Rahali (Terengganu FC), Muslihuddin ‘Atiq dan Safwan Mazlan (Terengganu FC II), Haqimi Azim Rosli (KL City) serta Hadi Fayyadh.

Namun, pemain sayap lincah Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Hanapi tidak tersenarai dalam kem latihan pusat Harimau Muda.

Harimau Muda dijadual mengadakan dua Perlawanan Antarabangsa Tier 2 bertemu Timor-Leste B-23 pada 29 April 2022 dan Filipina B-23 pada 1 Mei 2022.

Maloney kemudian akan menamakan senarai akhir 20 pemain ke Sukan SEA dan Harimau Muda dijadual berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang ke Hanoi, Vietnam pada 4 Mei. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram