PADA perlawanan pembukaan FAS Tri-Nations Series 2022, jurulatih negara, Kim Pan-gon menurunkan tiga serangkai iaitu Ariff Aiman, Syafiq Ahmad dan Akhyar Rashid dalam kesebelasan utama Harimau Malaya.
Melihat aksi yang cukup menyakinkan tiga 'jentera' ini, rata-rata peminat tertunggu-tunggu pula aksi daripada penyerang muda, Luqman Hakim Shamsudin, yang turut disenaraikan dalam skuad kebangsaan.
Ada yang sudah membayangkan Pan-gon mungkin menurunkan Luqman Hakim bagi menggantikan Syafiq Ahmad dalam perlawanan menentang Singapura pada Sabtu ini, memandangkan dia tidak diturunkan pada perlawanan ketika menentang Filipina, 23 Mac lepas.
KOMEN sebahagian penyokong yang mahu Luqman Hakim diturunkan dalam aksi menentang Singapura, Sabtu ini. — Facebook
Salah seorang penyokong, Leron Jannata merasakan Luqman Hakim perlu membuktikan pemilihannya adalah berdasarkan minit permainan dan jaringan, bukan kuota main di luar negara. Bintang muda negara berusia 20 tahun itu kini bermain dengan pasukan Belgium, KV Kortrijk.
"Singapura ni lebih kuat daripada Filipina walaupun ranking mereka lebih rendah daripada Harimau Malaya," katanya di ruang komen Facebook Harimau Malaya.
Tambahnya, Pan-gon boleh mengatur strategi dengan memasukkan Luqman Hakim pada separuh masa kedua.
"Separuh masa pertama bagi Syafiq Ahmad dulu. Luqman Hakim masuk separuh masa okay la.
"Kalau dah mendahului dua gol sekurang-kurangnya, coach boleh bagi peluang kepada pemain di bangku simpanan," katanya.
Faris Aiman II pula berkata, "Nak turunkan Luqman Hakim boleh, (tetapi) bagi Syafiq Ahmad belakang dia manakala bahagian kiri dan kanan masing-masing disokong oleh Akhyar Rasyid dan Arif Aiman."
Seorang lagi penyokong, サイェド フッセン, beranggapan Luqman Hakim lebih baik daripada pemain naturalisasi negara iaitu Liridon Krasniqi.
Ketika menentang Filipina, Liridon dikatakan mempamerkan aksi kurang memuaskan kerana gagal mengekalkan permainan berintensiti tinggi selepas memperlahankan tempo permainan selain kerap melakukan kesalahan kecil.
"Bagilah dia (Luqman Hakim) peluang sekali lagi di bawah coach Pan-gon, tak adil nak terus kecam," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram