Isu pengadil, Sathianathan tunjuk cara FAM kembali ke landasan sebenar


  • Podium
  • Khamis, 14 Apr 2022

B Sathianathan tidak mahu lagi mendengar ada kontroversi membabitkan keputusan pengadil dalam Liga M.

PELAKSANAAN Sistem Pengadil Profesional Malaysia (MProRS) perlu dilaksanakan segera oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas dilancarkan pada Mac 2020, kata B. Sathianathan.

Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM) itu berkata, FAM harus kembali berada di landasan sebenar untuk ‘menterjemahkan’ sistem berkenaan dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).

Malah, Sathianathan meminta FAM tidak berlengah lagi merangka strategi susulan beberapa keputusan kontroversi pengadil perlawanan dalam saingan Liga-M sejak kebelakangan ini.

"Program seperti MProRS ini adalah usaha yang baik daripada FAM terutamanya dalam meningkatkan lagi mutu pengadilan seterusnya mewujudkan golongan pengadil profesional di negara ini.

"Bagaimanapun, pengadil-pengadil yang terlibat dengan program-program berkenaan mestilah mesti ada niat untuk membantu meningkatkan lagi mutu pengadilan dalam arena bola sepak.

"Cuma saya berharap FAM tidak menunggu lama untuk kembali menjayakan MProRS ini. Kita tidak mahu lagi mendengar ada kontroversi membabitkan keputusan pengadil," katanya.

MProRS turut terkandung dalam Peta Hala Tuju atau Roadmap F:30 FAM kerana dilihat mampu mencapai matlamatnya iaitu bagi meningkatkan lagi prestasi pengadil sedia ada.

Sebelum ini, FAM telah menyenarai pendek enam pengadil - Muhammad Nazmi Nasaruddin, Mohd Yaasin Mohd Hanafiah, Zulkarnain Zakaria, Muhammad Faizuddin Ismail, Razlan Joffri Ali dan Muhammad Izzul Fikri Kamaruzaman sebagai perantis bagi projek berkenaan. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram