Plus bakal sesak, pengguna diingat rancang perjalanan balik kampung


  • Primer
  • Khamis, 14 Apr 2022

Orang ramai disaran supaya membuat perancangan awal dan pulang ke kampung lebih awal.

PLUS Malaysia Berhad (Plus) menjangkakan peningkatan jumlah trafik daripada 1.6 juta kepada 2.0 juta kenderaan ketika tempoh perayaan Aidilfitri bermula 29 April hingga 9 Mei ini.

Pengarah Urusan Plus, Datuk Azman Ismail berkata, pengguna disarankan supaya membuat perancangan pulang ke kampung lebih awal bagi mengelakkan mereka daripada terperangkap dalam kesesakan trafik, terutamanya ketika beberapa hari terakhir Ramadan.

"Pada hari-hari puncak bermula 29 April hingga 9 Mei, jumlah trafik harian boleh meningkat sebanyak 25 peratus kepada 2 juta kenderaan sehari berbanding 1.6 juta sehari pada ketika ini.

"Oleh itu, kami menyarankan agar orang ramai supaya membuat perancangan awal dan pulang ke kampung lebih awal,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, Plus memaklumkan bahawa pihaknya akan turut mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) dalam tempoh yang terdekat ini, bagi membantu orang ramai merancang perjalanan mereka pada musim perayaan kali ini.

Azman berkata, pasukan operasi lebuhraya Plus juga telah bersiap-siaga dan bersedia untuk membantu orang ramai untuk pulang ke kampung pada cuti perayaan Aidilfitri yang amat dinanti-nantikan tahun ini.

"Ia melibatkan pendekatan yang holistik yang merangkumi pelbagai aspek termasuk adaptasi teknologi untuk meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan orang ramai. Pelan persediaan operasi lebuh raya tersebut akan diumumkan kemudian," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram