KEMELUT melanda Perak FC menjadi bualan mulut para peminat bola sepak tempatan sehingga menyebabkan bekas pemain pasukan itu seperti Khalid Jamlus turut masuk campur.
Tambah menyedihkan, para pemain terpaksa berkongsi makanan seperti video yang tular baru-baru ini.
Ada juga pemain yang terpaksa menjual motosikal dan jam tangan demi kelangsungan hidup gara-gara tidak menerima tunggakan gaji selama tiga bulan.
Urusan pengambilalihan Perak FC juga tidak menemui noktahnya sehingga kini dan para peminat terus menerus mendesak agar rundingan diselesaikan dengan segera.
Mengulas tentang krisis tersebut, pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai Zamburger mahu individu atau syarikat yang mahu mengambil alih Perak FC, melihatnya sebagai satu bentuk pelaburan.
"Ramai kata bola sepak ini merugikan. Apabila tadbir dengan baik, memang untung dan susah orang nak percaya bola sepak ini sesuatu bidang yang menguntungkan.
"Banyak saja kelab di dunia yang mencatatkan keuntungan sebelum pandemik Covid-19.
"Industri bola sepak menguntungkan. Apabila stadium dah dibuka semula, ramailah peminat yang akan hadir semula ke stadium.
"Tambahan, Perak FC itu sebuah pasukan bertaraf negeri. Kalau misalnya, PJ City, komuniti dari Petaling Jaya sahaja yang datang menyokong mereka.
"Kalau pasukan negeri, peminat akan datang turun menyokong dengan syarat kelab berkenaan kena semakin kuat dan menang," katanya kepada Majoriti.
Pemilik Kelantan FC, Zamburger. — Bernama
Tambah Zamburger, urusan pengambilalihan Perak FC itu bagaimanapun perlu dilaksanakan dengan jujur oleh kedua-dua belah pihak.
"Bayar hutang-hutang yang ada dan fokus membangunkan semula pasukan.
"Kita kena sumbang dulu pada mereka (pemain), baru mereka akan menyokong kita semula," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram