Satu dunia doakan Farizal Marlias termasuk bekas bintang EPL


  • Podium
  • Isnin, 11 Apr 2022

Mohd Farizal diusung keluar selepas pelanggaran dengan rakan sepasukannya.

RENTETAN insiden tergempar yang menimpa Mohd Farizal Marlias, satu dunia kini mendoakan kapten Johor Darul Takzim (JDT) itu supaya sembuh seperti sedia kala.

Selain pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang melawat Mohd Farizal di hospital yang dilaporkan kini stabil, tinjauan Majoriti di laman Instagram pemain berkenaan mendapati ramai peminat dan rakan-rakan sepasukan yang mendoakan kesejahteraan beliau termasuk rakan sepasukan, Shane Lowry.

Difahamkan, insiden itu berlaku apabila Shane yang juga bekas tonggak Aston Villa dan Leeds United, bertembung sesama sendiri bersama Farizal akibat situasi kelam-kabut di depan gawang gol tuan rumah.

Kecederaan dialami Mohd Farizal berikutan pelanggaran dengan Shane ketika cuba menyelamatkan hantaran lintang pemain tengah TFC Muhammad Syafik Ismail pada minit ke-61.

“Semoga kembali pulih secepat mungkin, Farizal Marlias,” tulisnya di InstaStory pada Isnin.

WhatsApp Image 2022-04-11 at 11.45.36

Tangkap layar Insta Story Shane yang mendoakan kesembuhan Farizal.

Terdahulu, kapten dan penjaga gol utama JDT itu dilaporkan berada dalam keadaan stabil berikutan kecederaan dialami dalam insiden mencemaskan pada aksi Liga Super menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam Ahad.

Bagaimanapun, Mohd Farizal yang juga penjaga gawang nombor satu skuad kebangsaan akan kekal dalam pemerhatian, selain perlu menjalani beberapa ujian perubatan di hospital, menurut hantaran di Facebook rasmi Johor Southern Tigers.

Mohd Farizal yang seakan tidak sedarkan diri terpaksa diusung keluar dan penjaga gol simpanan, Muhammad Haziq Nadzli dibawa masuk bagi menggantikannya.

Skuad Harimau Selatan menang 2-1 pada pertembungan itu hasil dua gol tandukan penyerang sensasi Bergson da Silva yang menafikan gol penyamaan Kpah Sherman sekali gus membantu pasukan mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus dalam empat perlawanan untuk menerajui takhta liga.

shane

Aksi Shane sewaktu perlawanan menentang Terengganu FC pada Ahad malam.

Shane yang menyertai JDT pada 2021 merupakan antara tonggak import skuad Harimau Selatan selain pemain Brazil, Maurício Santos Nascimento, Bergson da Silva (Brazil), Fernando Forestieri (Argentina), Carli De Murga (Filipina), Moussa Sidibe (Mali) dan Bienve Maranon (Filipina). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram