Tak dapat sertai skuad Sukan Sea Indonesia, Saddil akui motivasi menurun


  • Podium
  • Ahad, 10 Apr 2022

SADDIL sebelum ini diketepikan daripada skuad Garuda dalam aksi playoff Piala Asia 2023 dan juga Piala AFF 2020 akibat kecederaan. — Sabah FC

PEMAIN Sabah FC, Saddil Ramdani mengakui kecewa kerana tidak dapat menyertai skuad kebangsaan Indonesia dalam Sukan Sea Ke-31 di Hanoi Vietnam, Mei ini.

The Rhinos dilaporkan enggan melepaskan ayam tambatan mereka itu kerana kejohanan itu tidak tersenarai dalam kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).

Bercakap kepada wartawan negara itu, Saddil mengakui motivasinya sedikit menurun namun berharap penyokong Indonesi percaya dengan kemampuan pemain lain

"Kalau situasinya begini, ya motivasi saya sebagai pemain kadang-kadang jadi menurun.

"Tapi tidak apalah. Masyarakat Indonesia tidak perlu berharap kepada saya kerana banyak lagi pemain Indonesia lain," katanya.

Bagi Saddil, ini bukanlah kali pertama dia disisihkan daripada skuad kebangsaan yang dikendalikan jurulatih Korea Selatan, Shin Tae-yong.

Sebelum ini, dia diketepikan daripada skuad Garuda dalam aksi playoff Piala Asia 2023 dan juga Piala AFF 2020 akibat kecederaan.

Sebelum ini, laman sosial media Instagram Sabah FC diserang penyokong Indonesia yang tidak berpuas hati dengan keputusan kelab itu yang tidak melepaskan bintang mereka.

Dalam pada itu, Saddil tetap memberi semangat kepada rakan-rakannya yang lain untuk membawa nama Indonesia dalam kejohanan itu kelak dan juga dalam Kelayakan Piala Asia 2023.

"Harapan saya semoga mereka mampu menjadi juara dan berjaya di AFC (Kelayakan Piala Asia 2023) dengan kepercayaan diri. Kami penyokong setia pasukan kebangsaan Indonesia, merah putih harga mati," ujarnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram