PENYOKONG Indonesia menyerang akaun Instagram Sabah FC kerana disyaki tidak berpuas hati selepas Saddil Ramdani mengesahkan tidak dapat beraksi untuk negaranya di temasya Sukan SEA 2021.
Menerusi tinjauan Majoriti, status terbaharu Sabah FC yang memaparkan gambar jurulatih, Datuk Ong Kim Swee, banyak komen yang ditinggalkan dengan tanda pagar #saddilout.
Malah, beberapa akaun Instagram turut menggunakan bahasa Indonesia menyeru supaya komen tersebut terus ditinggalkan di akaun rasmi Sabah FC itu.
TANGKAP layar sebahagian daripada komen yang ditinggalkan netizen Indonesia yang tidak berpuas hati kerana Saddil tidak dilepaskan. — Instagram
Terdahulu, Saddil mengesahkan yang dia tidak akan menyarung jersi pasukan negaranya di temasya Sukan SEA 2021 yang akan diadakan di Hanoi, Vietnam.
"Ada surat panggilan masuk untuk persiapan SEA Games pada 22 Maret (Mac) lalu. Akan tetapi, tahun ini tak bisa ikut SEA Games.
"Saddil baru diperbolehkan membela timnas pada 24 Mei, sedangkan SEA Games mulai 6-23 Mei. Jadi, tidak bisa ikut," kata Saddil melalui akaun TikTok miliknya.
Ternyata pengumuman Saddil itu tidak disenangi oleh penyokong Indonesia yang bertindak menyerang Instagram Sabah FC sebagai tanda protes.
Malah, ada juga yang menyebut bahawa tindakan Sabah FC itu sebagai langkah untuk menyekat aksi Indonesia di dalam kejohanan sukan itu.
Untuk rekod, Saddil kini berusia 23 tahun dan masih layak beraksi untuk skuad B-23 yang disyaratkan oleh penganjur untuk acara bola sepak lelaki di Sukan SEA. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram