Klopp sekali lagi guna senjata rahsia sama menentang City


  • Podium
  • Sabtu, 09 Apr 2022

Klopp (kiri) dan Guardiola (kanan) akan berentap pada Ahad dalam aksi liga. — Reuters

LIVERPOOL akan turun dalam perlawanan liga paling penting musim ini pada Ahad menentang Manchester City di Etihad, yang kini mendahului tangga teratas liga dengan satu mata berbaki lapan perlawanan.

Anak buah Jurgen Klopp boleh merampas kedudukan di puncak liga jika memenangi perlawanan itu namun pada masa yang sama, The Citizens boleh menjarakkan kedudukan kepada empat mata. Pasukan yang menang pada Ahad pastinya mempunyai kelebihan untuk menjuarai liga.

Bagi mendapatkan kemenangan kedua di gelanggang lawan itu dalam kariernya, Klopp boleh melaksanakan perubahan taktikal seperti yang dilakukannya musim lalu.

Formasi 4-3-3 merupakan taktikal yang sering digunakan Klopp sejak tiba di Merseyside. Formasi sama juga sering menjadi pilihannya ketika menentang City, namun kali terakhir bertandang ke Etihad, Klopp menggunakan formasi yang jarang digunakannya iaitu 4-4-2.

Formasi itu kelihatan seperti 4-2-4 setiap kali Liverpool melancarkan serangan. Roberto Firmino dan Mohamed Salah beroperasi sebagai dua penyerang di tengah, dengan Sadio Mane di sayap kiri dan Diogo Jota di sebelah kanan.

Dalam perlawanan itu, Firmino dan Salah menyekat ruang City untuk memberi bola kepada Rodri dan Ilkay Gundogan di bahagian tengah, manakala Mane dan Jota menyelinap ke bahagian dalam untuk menyekat ruang yang sering digunakan City untuk menggerakkan serangan.

The Reds gagal meraih kemenangan dalam perlawanan itu dengan kedudukan berakhir 1-1, tetapi pasukan pelawat berjaya mendahului dan mengatasi City dengan sembilan percubaan berbalas enam.

4-4-2 juga membolehkan penyerang tambahan diturunkan dengan mengorbankan pemain di bahagian tengah, dengan Jota yang baru menyertai Liverpool ketika itu mendatangkan impak.

Luis Diaz mungkin boleh melakukan perkara yang sama kali ini. Penyerang Colombia itu telah menjaringkan gol ketika menentang City ketika menyarung jersi Porto, dan Klopp mungkin tidak teragak-agak untuk menurunkannya.

Dengan lima penyerang terbaik yang boleh dimanfaatkannya, Klopp boleh menggunakan formasi 4-4-2 sekali lagi, bagi menyekat kemaraan anak buah Guardiola. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram