Fokus kejar 4 trofi, Salah elak dedah isu kontrak Liverpool


  • Podium
  • Sabtu, 09 Apr 2022

Salah dilaporkan mahu menjadi penerima gaji tertinggi di EPL. — Reuters

SITUASI kontrak bintang Liverpool, Mohamed Salah masih belum menemui jalan penyelesaian sehingga ke hari ini walaupun rundingan antara kedua-dua pihak sudah dijalankan beberapa kali.

Kontrak semasanya akan tamat pada musim panas 2023 dan isu gaji dipercayai menjadi punca utama perkara itu masih belum diselesaikan.

Salah dilaporkan mahu menjadi penerima gaji tertinggi di Liga Perdana Inggeris (EPL), namun ketika ditanya mengenai perkara itu, pemain Mesir itu berkata bahawa ia adalah "situasi yang sensitif".

"Saya tidak boleh mengatakan ya, dan saya tidak boleh mengatakan tidak. Saya sudah cakap banyak kali sebelum ini apa yang saya mahukan.

“Saya tidak boleh bercakap terlalu mendalam mengenai kontrak sekarang kerana ia adalah situasi yang sensitif, pasukan perlu menang dan saya tidak boleh muncul dalam berita dan bercakap tentang kontrak, tidak. Saya hanya fokus kepada pasukan," katanya.

Salah juga menafikan bahawa isu kontrak mempengaruhi persembahannya bersama kelab dan menegaskan bahawa dia merupakan seorang profesional.

Dia juga bertekad mahu memastikan bahawa Liverpool menamatkan musim ini dengan cemerlang.

“Saya bercakap dengan pengurus dari semasa ke semasa, saya sangat profesional. Saya tahu tugas saya.

“Saya antara yang pertama tiba (ke sesi latihan) dan yang terakhir pergi. Saya tahu apa yang saya lakukan. Saya tidak terganggu tentang itu (kontrak), saya hanya fokus pada pasukan.

“Itu adalah perkara paling penting bagi saya, fokus untuk memenangi trofi dan saya memberikan segalanya untuk kelab ini," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram