Salah akhirnya mengalah


  • Podium
  • Isnin, 04 Apr 2022

SALAH dilaporkan bakal menerima sekitar RM2.2 juta seminggu untuk kekal di Anfield. — Reuters

PEMAIN sayap Liverpool, Mohamed Salah akhirnya dilaporkan bersetuju dengan kontrak baharu untuk mengekalkannya di Anfield sehingga penghujung karier.

Kontrak pemain antarabangsa Mesir itu bakal tamat pada musim panas 2023, namun The Reds telah berusaha untuk berbincang mengenai kontrak baharu dengannya sejak awal musim ini.

Menurut laporan, Salah berminat untuk memberi komitmen bersama Liverpool, namun rundingan gaji menyebabkan rundingan mengenai kontrak baharu masih tidak menemui jalan penyelesaian.

Salah dilaporkan meminta £500,000 seminggu (RM2.76 juta), sama seperti bintang Manchester United, Cristiano Ronaldo, dan menolak tawaran asal £400,000 (RM2.2 juta) yang diberikan Liverpool.

Namun, menurut laporan, pemain itu akhirnya bersetuju untuk menerima tawaran sekitar jumlah asal tersebut dengan perjanjian tiga tahun dan satu tahun tambahan.

Sejak beberapa hari lalu, terdapat beberapa laporan yang mengaitkan penyerang itu dengan perpindahan ke kelab Itali, Juventus.

Selain itu, dia juga diburu gergasi Eropah lain seperti Barcelona, ​​Real Madrid, dan PSG.

Sejak menyertai Liverpool pada 2017, Salah menunjukkan prestasi cemerlang, menjaringkan 153 gol dalam 240 penampilan.

Musim ini, dia menjadi tonggak harapan Liverpool apabila mencatatkan 20 gol dalam Liga Perdana Inggeris setakat ini, dan lapan gol dalam Liga Juara-Juara Eropah. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram