PARA pemain skuad bola sepak kebangsaan mengakhiri perlawanan persahabatan Tier 1 di Singapura dengan kemenangan 3-0 menentang kelab negara berkenaan, Albirex Niigata.
Setelah tamat tugas bersama pasukan kebangsaan, kebanyakan para pemain negara akan beraksi semula dalam saingan Liga Super minggu ini.
Ada juga pemain yang akan beraksi buat kali pertama dalam Liga Super berikutan penangguhan membabitkan beberapa pasukan ekoran penularan Covid-19.
Tumpuan sudah tentunya diberikan kepada pemain Johor Darul Takzim, Akhyar Rashid.
Akhyar mencuri tumpuan para peminat bola sepak tempatan apabila meledak dua gol ketika menentang Filipina.
Pemain itu sekali lagi menampikan aksi memberangsangkan apabila mencipta peluang jaringan untuk Liridon Krasniqi ketika bertemu Singapura.
JDT akan bertemu Kuala Lumpur City FC (KL City) pada Rabu di Stadium Bola Sepak Cheras, Kuala Lumpur.
Dalam dua pertemuan awal, Akhyar hanya beraksi sekali sebagai pemain gantian ketika JDT membenam Sarawak United 6-0 dalam perlawanan kedua Liga Super.
AHMAD Khuzaimi (kanan) tampil cemerlang bantu barisan pertahanan Harimau Malaya. — Facebook
Seorang lagi pemain patut diberi tumpuan adalah bek Negeri Sembilan FC (NSFC), Ahmad Khuzaimi Piee yang menampilkan aksi cemerlang bersama pasukan kebangsaan sewaktu bertemu Filipina tempoh hari.
Ahmad Khuzaimi merupakan pemain yang dipanggil oleh ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon selepas Syahmi Safari meminta pengecualian daripada pasukan negara selepas isterinya baru bersalin.
Malahan, pengganti utama Syahmi Safari iaitu Rizal Ghazali juga gagal melaporkan diri kerana masalah peribadi.
Susulan itu, Ahmad Khuzaimi memanfaatkan kepercayaan diberi oleh Pan-gon apabila tampil cemerlang mengemudi barisan pertahanan bersama-sama Shahrul Saad sepanjang perlawanan tersebut.
Prestasi pemain kidal itu bersama NSFC dalam menghadapi saingan Selangor FC pada Selasa pasti dinantikan oleh para penyokong. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram