Akhyar berterima kasih kepada JDT


  • Podium
  • Jumaat, 25 Mac 2022

AKSI Akhyar ketika menentang Filipina pada Rabu. — FAM

PEMILIHAN pemain sayap Johor Darul Takzim (JDT), Akhyar Rashid dalam skuad kebangsaan mengejutkan ramai pihak kerana beliau jarang bermain dalam skuad Harimau Selatan sejak dua musim lalu.

Namun, pemain berusia 22 tahun itu membuktikan bahawa jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon membuat keputusan yang tepat menyenaraikannya dengan persembahan mantap ketika kemenangan 2-0 ke atas Filipina dalam perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Singapura pada Rabu.

Setiap sentuhan yang dilakukan Akhyar sering kali menimbulkan masalah bagi Filipina dan larian pantasnya, kawalan bola serta aksi geleceknya mendatangkan ancaman yang berterusan kepada barisan pertahanan yang diketuai oleh Carli De Murga.

Apa yang paling mengagumkan ialah, beliau juga menjaringkan kedua-dua gol negara pada minit ketiga dan ke-25.

Bagi gol pertama, Akhyar menerima hantaran pintar dari bek kiri, La’Vere Corbin Ong dan beliau menggelecek pertahanan Filipina, Erick Linares sebelum melepaskan rembatan kencang menewaskan penjaga gol, Neil Etheridge.

Gol keduanya hadir selepas serangan balas pantas yang dimulakan oleh pemain tengah veteran, Safiq Rahim, yang melakukan hantaran dari kawasan pertahanan kepada Syafiq Ahmad.

Syafiq kemudian menghantar bola kepada Akhyar, yang meledak masuk melepasi De Murga dan Etheridge.

Akhyar yang gembira dengan prestasinya itu, berkata, dia tidak terkejut dirinya boleh beraksi dengan baik di pentas antarabangsa walaupun jarang mendapat tempat dalam kesebelasan utama bersama JDT.

“Walaupun kekurangan minit bersama JDT, saya masih berjaya memperbaiki diri kerana sentiasa didedahkan dengan latihan tahap tinggi di Johor. Saya juga bermain beberapa perlawanan dalam Liga Juara-Juara Asia tahun lalu.

“Semua itu telah membantu saya untuk mengharungi intensiti perlawanan antarabangsa. Saya bersyukur kerana dapat memberikan yang terbaik untuk negara,” kata bekas pemain Kedah itu.

Akhyar juga mengakui sangat teruja untuk menampilkan persembahan yang baik dalam perlawanan pertama Pan-gon dan berharap dapat mengekalkan momentum itu pada perlawanan persahabatan seterusnya menentang Singapura pada Sabtu.

"'Pan-gon menekankan taktik serangan pantas dan ia telah terbukti berkesan dalam perlawanan pertama kami,'' tambahnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram