SETIAP pasukan di negara ini dinasihatkan supaya mengamalkan latihan berintensiti tinggi bagi memastikan para pemain mereka bersedia dengan corak permainan pantas yang diterapkan pengurus Harimau Malaya, Kim Pan-gon.
Penganalisis sukan tempatan, Dr Pekan Ramli berkata, tahap latihan atau intensiti latihan tinggi yang diterima pemain Johor Darul Takzim (JDT) memberi kelebihan kepada Akhyar Rashid dan Safiq Rahim dalam menampilkan aksi memberangsangkan ketika menentang Filipina tempoh hari.
"Pasukan-pasukan lain di negara ini harus mencontohi JDT dari segi menerapkan tahap intensiti latihan yang tinggi supaya dapat merapatkan jurang dengan pemain-pemain Harimau Selatan," katanya kepada Majoriti.
Tambahnya, terdapat sebilangan pasukan di negara ini yang menerapkan latihan yang lebih 'santai' apabila musim sudah bermula kerana bimbang pemain mengalami kecederaan.
"Malah, kebanyakan pasukan hanya mengamalkan satu sesi latihan sehari. Ia tidak membantu kebanyakan pemain untuk lebih bersedia dengan corak atau tempo permainan yang tinggi terutama yang diguna pakai oleh Pan-gon. Inilah kelebihan yang terserlah yang dimiliki pemain-pemain JDT.
"Kita berharap selepas ini setiap pasukan dapat mengadakan latihan intensiti tinggi yang berjadual walaupun liga telah bermula. Barulah kita akan dapat melihat kualiti pemain yang hampir setara dan memudahkan kerja Pan Gon untuk persiapan menghadapi kelayakan Piala Asia Jun nanti," ujarnya.
Namun, menurutnya, masih terlalu awal untuk memberi pujian menggunung kepada skuad Harimau Malaya di bawah kendalian Kim Pan-gon ini kerana ia hanyalah perlawanan persahabatan.
Dalam pada itu, jurulatih legenda, Azraai Khor Abdullah menyifatkan latihan yang diamalkan oleh JDT sebagai sistematik dan ia dapat dilihat pada persembahan pemain-pemain kelab itu dalam perlawanan menentang Filipina.
Beliau memberi contoh Safiq dan Akhyar yang menyerlah dalam perlawanan tersebut walaupun sering memanaskan bangku simpanan.
Namun, katanya, sebagai seorang profesional, setiap pemain harus bersedia untuk mempamerkan aksi yang memberangsangkan jika diturunkan oleh jurulatih walaupun jarang mendapat minit permainan.
"Sama ada anda mempunyai minit permainan yang banyak atau tidak, apabila jurulatih pilih, anda harus main dengan baik.
"Contohnya macam Akhyar, jarang diturunkan di JDT beliau tetap berjaya mempamerkan aksi hebat malam itu. Safiq pula kita dapat lihat cara beliau mengawal bahagian tengah dengan lebih baik daripada pemain lain walaupun jarang diturunkan dan sudah berumur, disebabkan faktor tahap intensiti latihan di JDT," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram