Pan-gon ada sasaran peribadi bertemu Singapura


  • Podium
  • Sabtu, 26 Mac 2022

PAN-GON (kanan) mahu pemain Malaysia meneruskan momentum baik dalam perlawanan menentang Singapura pada Sabtu. — Facebook FAM

PERTEMUAN Malaysia dan Singapura pada Sabtu mungkin hanya sekadar perlawanan persahabatan namun ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon hanya akan berpuas hati selepas menang menentang musuh setempat itu.

Malaysia menentang tuan rumah, Singapura di Stadium Nasional Singapura pada pukul 8 malam dalam perlawanan terakhir FAS Tri-Nation Series.

Pan-gon menyedari betapa hebatnya perseteruan antara kedua-dua pasukan tersebut.

Setakat ini, Malaysia sudah bertemu Singapura sebanyak 78 kali.

Berdasarkan statistik, Malaysia memenangi 22 perlawanan manakala Singapura menang 25 kali dan 31 seri.

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu di venue yang sama adalah pada 2014, apabila Malaysia menumpaskan Singapura 3-1 dalam kejohanan Piala AFF Suzuki.

"Ini seperti perlawanan derbi. Ia sangat penting untuk kedua-dua negara tetapi saya juga mempunyai sasaran peribadi sebagai jurulatih.

"Matlamat kami adalah menyediakan pasukan untuk kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun dan juga Piala AFF hujung tahun ini.

"Kami akan cuba membentuk pasukan dengan teknik asas yang baik dan pemahaman lebih baik tentang aspek taktikal serta teknikal yang kami mahu miliki," kata Pan-gon.

Pan-gon turut mengharapkan pemainnya meneruskan momentum positif selepas menumpaskan Filipina 2-0 pada Rabu.

Dua gol jaringan Akhyar Rashid memastikan Pan-gon mencatat kemenangan dalam penampilan pertamanya sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya.

Malaysia beraksi agresif dan mempamerkan aksi serangan yang baik ketika menentang Filipina namun Pan-gon memberi bayangan akan berlaku perubahan sewaktu bertemu Singapura.

"Kami sudah melalui beberapa sesi latihan dan juga perlawanan persahabatan pertama kami (menentang Filipina).

"Objektif kami datang ke sini adalah untuk menilai setiap pemain, maka kami akan melakukan eksperimen dengan semua pemain," jelasnya.

Ditanya sama ada sesiapa dalam senarai kecederaan, Pan-gon mengesahkan bahawa beberapa pemain mengalami kecederaan ringan selepas perlawanan bertemu Filipina.

"Tetapi ia tidak serius. Kami sudah melakukan rawatan dan melindungi pemain.

"Lebih-lebih lagi, kami mempunyai bilangan pemain yang mencukupi di sini," menurutnya lagi.

Dalam pada itu, jurulatih interim Singapura, Nazri Nasir berkata, para pemainnya tidak memerlukan motivasi tambahan memandangkan perseteruan antara kedua-dua pasukan.

"Ia sentiasa menjadi perlawanan istimewa apabila beraksi menentang Malaysia.

"Mereka memiliki pemain serangan yang pantas, jadi kami perlu ambil perhatian tentang itu.

"Ia akan menjadi perlawanan yang sukar.

"Kami bermain di laman sendiri dan saya pasti para pemain tidak akan mengecewakan saya," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram