ISU cetak rompak melibatkan penjualan jersi pasukan bola sepak bukan sesuatu yang baharu namun tindakan segelintir pihak tidak bertanggungjawab itu menjejaskan sumber pendapatan sesebuah kelab berkenaan.
Kali ini, jersi Sri Pahang FC berdepan situasi sama apabila ada individu cuba menjual jersi cetak rompak dengan harga tidak masuk akal.
Perkara itu didedahkan oleh salah seorang ejen jualan jersi rasmi Sri Pahang, Zulhilmi Monel di laman Facebook baru-baru ini.
"Harga yang ditawarkan memang murah bagi jersi gred 'authentic' mereka, tidak masuk akal sungguh.
"Bagi peniaga jersi cetak rompak ini, harap hentikan tindakan ini. Pihak HakkaClo (penaja jersi rasmi Sri Pahang) tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas anda.
"Jangan pula nanti, sudah terhantuk baru hendak terngadah," katanya.
Berikutan pendedahan itu, halaman Facebook Hogoh Pahang Hogoh mempersoalkan tindakan yang sewajarnya dilakukan oleh pemilik kelab untuk melindungi penaja pasukan itu.
"Tegaslah bab isu ini. Kebanyakan yang jual barang fake hasil mencuri karya, hak pekerja, hak pengeluar asal.
"Pandai post bab agama, konon bagi anak isteri rezeki halal. Kalau dah nama mencuri, apa yang halalnya?.
"Di manakah ketegasan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) dan MFL (Malaysian Football League) atau pemilik kelab melindungi pembekal serta penaja mereka?
"Kepada ejen-ejen, sila ambil tindakan report page-page dan individu mempromosi barangan curi.
"Bukan jersi Pahang sahaja dirompak, malah jersi JDT (Johor Darul Ta'zim) dan Selangor FC juga dikesan menjadi mangsa pembunuh perniagaan anak bangsa kita yang bersusah payah mengeluarkan kos-kos untuk menggaji anak bangsa kita," menurutnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram