KETUA jurulatih Melaka United FC, Risto Vidakovic mahu anak buahnya mengambil pengajaran daripada perlawanan antara Sri Pahang FC menetang Manjung City FC minggu lalu, apabila turun berentap dalam pusingan pertama Piala FA pada Khamis.
Beliau berharap, apa yang terjadi kepada Sri Pahang FC ketika menentang pasukan Liga M3 itu sehingga diheret ke penentuan sepakan penalti sebelum melayakkan diri, tidak akan berlaku kepada pasukannya.
Justeru, beliau tidak akan memandang rendah kemampuan pasukan dari Liga M3, PIB FC apabila kedua-dua pasukan bertemu di Stadium Hang Jebat.
“Saya mengingatkan para pemain agar menghormati lawan seperti mana pasukan lain semasa di Liga Super dan berikan yang terbaik di atas padang.
“Jangan sama sekali merendahkan kemampuan mereka kerana kebiasaannya, lawan dari liga lebih bawah ini akan ada satu perasaan motivasi yang luar biasa.
“Jadi, jika kita tidak berhati-hati, mereka boleh mengejutkan kami dan saya tidak mahu perkara itu terjadi kerana saya mahu membawa Melaka melangkah jauh di pertandingan Piala FA,” katanya.
Perlawanan tersebut sepatutnya berlangsung pada 12 Mac lalu tetapi terpaksa ditunda ekoran sebahagian besar pemain serta pegawai Melaka United dijangkiti Covid-19.
Mengenai persiapan pasukan, Vidakovic berkata, Melaka United akan tampil dengan kekuatan terbaik kerana mahu menguji tahap kecergasan pemain selepas hampir berehat tiga minggu tanpa sebarang perlawanan kompetitif.
“Saya akan meletakkan kesebelasan terbaik apabila berdepan PIB kerana mahu memberikan mereka minit permainan yang juga persediaan untuk hadapi Liga Super.
“Selepas pemain telah pulih dari Covid-19, saya harap mereka mampu peraga aksi yang diharapkan kerana pasukan ini masih dalam fasa membina persefahaman pemain.
“Kami bermula agak lewat dari segi persiapan dan harap perlawanan dengan PIB mampu menjadi pemangkin semangat buat kami dalam misi mencari kemenangan sulung,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram