KELAB Liga M3, Manjung City FC akan memberi perhatian lebih terhadap keupayaan pemain import Sri Pahang FC apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam pusingan pertama Piala FA pada Rabu.
Jurulatihnya, Rafae Isa menyifatkan Sri Pahang FC adalah sebuah pasukan yang bagus dan mengakui anak buahnya bakal berdepan cabaran sukar apabila berkunjung ke Stadium Darul Makmur.
“Kita sedar dengan kemampuan Pahang dan saya akan pastikan kami cuba melakukan yang terbaik memandangkan persiapan juga berlangsung dengan baik.
“Pahang memang pasukan yang bagus apatah lagi dengan pemain import mereka jadi memang agak susah untuk kita menguasai perlawanan," katanya.
Tambahnya, pemain Manjung City FC harus berwaspada apabila berdepan anak buah Christophe Gamel itu memandangkan mereka masih belum berpeluang melihat corak permainan mereka.
Terdahulu, dua aksi Liga Super antara Sri Pahang menentang Terengganu FC dan Selangor FC terpaksa ditunda selepas skuad Tok Gajah itu dilanda Covid-19.
Namun, Rafae berkata, beliau akan memastikan anak buahnya mampu memberi tentangan kepada Sri Pahang FC dalam aksi tersebut.
“Saya selalu ingatkan kepada pemain bahawa tidak mustahil untuk kita menang, cuma kita belum tengok lagi macam mana mereka beraksi dan saya ingin anak buah beri lebih perhatian kepada import mereka”, jelasnya.
Selain perlawanan antara Sri Pahang FC dan Manjung City FC, satu lagi perlawanan Piala FA membabitkan PDRM FC menentang Perlis United FC akan turut berlangsung pada Rabu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram