Longlai lawan kelab M3, nama Pablo Dollah jadi sebutan


  • Podium
  • Jumaat, 25 Mac 2022

DOLLAH mengambil alih jawatan ketua jurulatih Sri Pahang FC daripada Dooley selepas pengendali daripada Amerika Syarikat itu direhatkan hanya selepas dua perlawanan. — The Star

PASUKAN Liga Super, Sri Pahang FC menempuh laluan sukar ketika berdepan kelab M3, Manjung City FC dalam perlawanan pusingan pertama Piala FA pada Rabu apabila diheret sehingga ke penentuan sepakan penalti.

Sri Pahang FC mara ke pusingan seterusnya selepas mencatat kemenangan 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sehingga masa tambahan.

Walaupun berjaya menundukkan lawannya, rata-rata peminat tidak berpuas hati dengan aksi longlai yang ditampilkan skuad Tok Gajah pada perlawanan itu.

Malah, sebilangan penyokong menjangkakan skrip musim lalu bakal berulang kembali kepada ketua jurulatih, Christophe Gamel.

Musim lalu, ketua jurulatih dari Amerika Syarikat, Thomas Dooley 'direhatkan' selepas hanya dua perlawanan mengendalikan kelab di mana pasukan mencatatkan dua kekalahan dengan lima bolos dan hanya satu jaringan gol dihasilkan.

Beliau kemudian digantikan oleh Dollah Salleh yang ketika itu menjawat jawatan sebagai pengurus pasukan, sebelum mengambil tanggungjawab mengendalikan Sri Pahang sehingga akhir musim.

Penyokong merasakan bahawa jika aksi longlai seperti yang ditampilkan ketika menentang Manjung City terus dipamerkan anak buah Gamel, tidak mustahil pengendali dari Perancis itu bakal berdepan nasib yang sama seperti Dooley.

Di ruangan Facebook Sri Pahang selepas perlawanan tersebut, penyokong membanjiri ruangan komen dengan nama Dollah atau disebut sebagai Pablo Dollah, seakan-akan memberi bayangan situasi sama bakal berulang kembali.

Dollah In

Antara komen penyokong Sri Pahang di Facebook.

Gamel dilantik sebagai jurulatih Sri Pahang musim ini bagi menggantikan Dollah yang tidak disambung kontrak, tetapi dilantik sebagai pengurus pasukan.

Dalam pada itu, Gamel dalam sidang media selepas perlawanan berkata, persembahan anak buahnya terjejas akibat ramai pemain yang baru pulih daripada Covid-19.

"Dijangkiti Covid-19 adalah situasi biasa di seluruh dunia pada masa ini dan saya enggan memperbesarkan hal itu, namun kami sebagai pasukan bola sepak perlu menerima hakikat bahawa ia banyak menjejaskan persiapan pasukan.

"Ini juga merupakan perlawanan rasmi pertama saya bersama pasukan dan kami masih dalam proses belajar dengan ramai pemain baharu untuk dibimbing," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram