Bayi tak ceria mungkin alami gegaran otak


  • Sihat
  • Jumaat, 01 Apr 2022

BADAN bayi digoncang dengan lebih kuat akan menyebabkan gegaran otak. — Gambar hiasan

BAYI yang mengalami kecederaan gegaran otak atau concussion akan lebih membimbangkan apatah lagi jika setiap kali jatuh beberapa kali dan mengalami gegaran.

Pakar Kesihatan, Dr Zubaidi Ahmad berkata, gegaran otak merupakan kecederaan pada fungsi otak dan bukan pada struktur anatomi otak.

"Oleh itu bayi yang mengalami gegaran otak, tidak dapat dikesan melalui pemeriksaan xray atau CT scan, tetapi individu tersebut mungkin mengalami rasa sakit pening, tidak memberikan tumpuan pada permainan mereka, mudah lupa, tidak dapat berjalan dengan betul dan seperti hendak jatuh bila berjalan atau bangun," katanya menerusi penulisan di laman blog.

Pada asasnya, Dr Zubaidi berkata, agak sukar untuk mengesan gegaran otak pada bayi berbanding dengan orang dewasa kerana mereka tidak boleh berkomunikasi dan memberitahu apa yang mereka rasakan.

Namun, katanya, sekiranya seseorang bayi dilihat tidak ceria atau tidak aktif, dia berkemungkinan besar mengalami gegaran otak atau kecederaan otak yang lebih serius.

"Bagaimanapun, gegaran otak biasanya pada kemalangan yang lebih serius, seperti satu hentakan pada kepala atau apabila badan mereka digoncang dengan lebih kuat.

"Gegaran otak akan memberikan kesan pada fungsi otak bergantung pada tahap kecederaan yang dialami.

"Kecederaan ini memerlukan masa untuk sembuh dengan sempurna dan adakalanya memberikan kesan apabila bayi itu semakin besar," katanya.

Kecederaan kulit kepala

Namun pada masa sama, beliau berkata, sebarang kecederaan kepala yang hanya melibatkan kulit kepala tidak mendatangkan sebarang kesan jangka panjang.

Katanya, kecederaan pada kulit kepala biasanya dalam bentuk luka, lebam dan bengkak atau benjolan.

"Jadi, bayi yang beberapa kali jatuh dan tidak mengalami kecederaan atau hanya mengalami kecederaan kulit kepala tidak perlu dirisaukan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

gegaran, otak, cedera, kulit kepala, Zubaidi Ahmad