AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akhirnya tampil membuka mulut selepas namanya dipetik penyanyi nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman yang berdepan pertuduhan kes dadah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis.
"Saya menerima satu laporan dan klip video tentang seorang penggiat seni yang ditahan kerana terlibat dalam aktiviti ganja dan dadah.
"Saya tidak akan mengulas berkenaan kes ini dan akan serahkan kepada pihak mahkamah dan peguam. Saya tidak mahu mengganggu perjalanan kes," tegasnya dalam satu kenyataan di Facebook.
HANTARAN Syed Saddiq di Facebook pada Khamis.
Syed Saddiq bagaimanapun mengulangi pendiriannya dalam isu penggunaan ganja atau kanabis.
Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu berkata, sejak menjadi menteri pada 2018-2020, beliau konsisten dalam menggesa kerajaan untuk membenarkan penggunaan ganja dalam bidang perubatan (medical cannabis).
Malah, menurutnya, Kementerian Kesihatan (KKM) di bawah bekas menteri, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pun ada keluarkan beberapa kenyataan tentang kesediaan KKM membuka ruang kajian perubatan kanabis di Malaysia.
"Ia juga disambut dan diteruskan di bawah Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin sekarang.
"Keputusan dan gesaan ini dibuat kerana kita ikut fakta, data dan sains. Bukan buat sebab 'trend' atau cakap-cakap orang.
"Ia boleh dijadikan sumber rawatan alternatif untuk banyak pesakit.
"Saya juga pernah berbahas dalam Dewan Rakyat tentang potensi perubatan kanabis jika ia dibenarkan di Malaysia," katanya.
Tambahnya, lebih 40 buah negara sudah membenarkan penggunaan kanabis untuk perubatan dengan nilai pasaran industri mencecah RM60 bilion.
"Saya sendiri ambil tanggungjawab dalam memperkenalkan industri ini di negara kita.
"Ini bukan satu tugas yang mudah tetapi saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk pastikan ada perkembangan yang baik nanti," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram