SELEPAS gagal membawa Mesir ke Piala Dunia, Mohamed Salah yang juga penyerang Liverpool memberi bayangan yang dia akan bersara.
Menurut Salah, keputusan itu dibuat kerana dia berasa terlalu kecewa selepas negaranya tewas 1-3 menerusi sepakan penalti ketika bertemu Senegal pada Rabu.
Malah Salah kesal dengan kegagalannya menyempurnakan sepakan penalti pertama yang disifatkannya mungkin boleh mengubah keputusan perlawanan.
"Setelah gagal menyempurnakan sepakan penalti yang pertama segala-galanya seakan sudah berakhir buat Mesir. Saya sungguh kecewa.
"Walaupun kecewa, saya rasa dihormati apabila berpeluang untuk bermain bersama rakan-rakan sepasukan saya dan sebelum perlawanan saya sempat menemui mereka bagi memaklumkan bahawa saya gembira bermain bersama mereka yang juga merupakan pemain-pemain terbaik.
"Malah sebelum ini, saya juga pernah bermain dengan pemain-pemain hebat dari Mesir daripada generasi terdahulu seperti Wael Gomaa dan Mohamed Abu Trika dan Abdullah A-Saeed," katanya.
Pada aksi pertama 26 Mac lalu Mesir tewas 1-3 menerusi penentuan sepakan penalti biarpun menang 1-0 di Stadium Antarabangsa Kaherah, sebelum tewas dengan jaringan sama kepada Senegal di Stade Me Abdoulaye Wade.
Keputusan perlawanan itu sekali gus mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti dan Senegal memanfaatkan peluang berkenaan dengan meledak tiga gol bagi membantu kemaraan skuad Lions Of Teranga itu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram