"KIRIM salam pada YB Syed Saddiq,” kata penyanyi nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, pada Khamis.
Penyanyi lagu Mimpi Laila yang lebih dikenali sebagai Yasin, memohon agar Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dapat menyegerakan kelulusan dadah jenis kanabis untuk perubatan.
Yasin, 47, berkata demikian ketika dibawa ke mahkamah bagi menghadapi dua pertuduhan kes berkaitan dadah, iaitu menanam 17 pokok disyaki ganja dan mengedar dadah jenis sama, minggu lalu.
Ketika prosiding di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah, Yasin berkata, dia sudah diberi ubat namun sejak akhir-akhir ini, tahap kesihatannya sangat terjejas.
“Saya khuatir pada bila-bila masa saya boleh jadi gila, ia pernah berlaku tiga kali dalam masa 10 tahun. Jadi mungkin saya perlukan ubat tambahan,” katanya.
Sementara itu, peguam, Yusmadi Yusoff yang mewakili Yasin berkata, fakta menunjukkan penyanyi itu mempunyai masalah kesihatan dan dia perlu dibantu untuk mendapatkan rawatan segera.
Katanya, Yasin telah mendapatkan rawatan sejak 2009 dan dimasukkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), namun tidak pernah menceritakan perkara itu kepada peminat.
Pada dua bulan lalu, beliau berkata, anak guamnya mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta.
Sementara itu, semakan Majoriti mendapati, Syed Saddiq yang biasanya aktif di Twitter memberi respons terhadap isu semasa, masih membisu berhubung perkara itu. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram