HAMPIR setiap hari, pasti ada keluhan daripada masyarakat berkaitan keadaan jalan raya yang tidak terjaga hingga boleh mengakibatkan kerosakan pada kenderaan dan paling merisaukan adalah penyebab kepada kemalangan.
Terbaharu, seorang pengguna media sosial menggunakan nama Izhar Hj Hashim berkongsi pengalamannya melalui Jalan Raya Timur Barat yang menghubungkan kawasan Gerik, Perak dan Jeli, Kelantan.
Menurut Izhar, laluan yang satu ketika dahulu menjadi lambang kehebatan Jabatan Kerja Raya (JKR) nampaknya kini sudah tidak terjaga dan boleh menjadi punca kepada kemalangan.
"Jalan Raya Timur Barat adalah lambang kehebatan JKR. Ia satu pembinaan yang bersejarah dan boleh diibaratkan sebagai satu monumen penting. Sayangnya hari ini JKR seolah-olah tidak menghargai kerja-kerja hebat yang mereka lakukan satu masa dulu.
"Masuk saja ke jalan berkenaan dari persimpangan lampu isyarat Pengkalan Hulu (Restoran Kari Kepala Ikan Salim, Gerik), anda memandu bagaikan menunggang kuda.
"Peperangan telah lama berhenti. Komunis telah meletak senjata pada 1989 lagi. Tetapi keadaan jalan raya seolah-olah negara baru tamat perang," katanya.
Menurut Izhar, terdapat banyak laluan yang pecah adn berlubang yang boleh membahayakan pemanduan dan merosakkan kenderaan.
Malah katanya, terdapat beberapa laluan yang tidak diselenggara dengan baik sehinggakan garisan jalan pun sudah tiada.
"Keadaan jalannya lebih teruk di sebelah Perak. Boleh dikatakan 70-80 peratus jalannya teruk di Perak. Manakala di sebelah negeri Kelantan, ia lebih baik. Boleh dikatakan 80-90 peratus jalannya elok," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram