Bazar Ramadan: Peniaga paranoid, bimbang sejarah mungkin berulang


  • Massa
  • Sabtu, 02 Apr 2022

SITUASI bazar Ramadan yang cukup dirindukan peniaga sebelum pandemik Covid-19 apabila penuh sesak dengan pengunjung. — Facebook/Rizal Hakimm Punyer

SETAHUN berlalu, kemeriahan bazar Ramadan kembali dirasai selepas pengumuman kerajaan memberi kebenaran ia boleh beroperasi semula tahun ini setelah memasuki fasa peralihan endemik Covid-19.

Namun apa yang menyedihkan, masih ada segelintir peniaga bazar Ramadan di ibu negara yang mendakwa tidak mendapat wang pulangan semula (refund) dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selepas tidak dapat meneruskan operasi penuh sebulan sebaik bazar itu diarahkan ditutup gara-gara peningkatan kes Covid-19 pada tahun lepas.

Disebabkan itu, ada dalam kalangan peniaga yang trauma serta khuatir sekiranya skrip yang sama berulang pada tahun ini, sekali gus berkira-kira termasuk enggan meneruskan perniagaan masing-masing di bazar Ramadan kali ini.

Seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Mek, 30, yang berniaga di perkarangan Stadium Kuala Lumpur, Cheras pada tahun lepas mendakwa, dia hanya sempat berniaga kira-kira dua minggu sebelum ia diarahkan ditutup pada 2021.

"Selepas setahun, saya masih belum mendapat refund. Berniaga pun tak pulang modal, jadi takut berdepan masalah yang sama tahun ini.

"Memang serik, penat dah ke hulu ke hilir nak mintak balik hak saya, jadi saya fikir ada baiknya tidak lagi berniaga di bazar Ramadan kali ini," dakwanya kepada Majoriti.

Umum sedia maklum, pada 2021, disebabkan penularan virus Covid-19 yang kian meningkat, bazar Ramadan di sekitar Kuala Lumpur terpaksa ditutup awal berbanding tempoh sepatutnya, sekali gus menyebabkan para peniaga tidak berpeluang untuk berniaga selama sebulan.

Seorang lagi peniaga bazar Ramadan Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR), Malik, 25, berkata, kebanyakan rakan-rakan peniaga di situ turut mendesak agar pihak DBKL tidak lagi memasang pagar di sekitar kawasan jualan pada tahun ini.

"Peniaga desak supaya DBKL tidak memasang pagar kerana kewujudan pagar hanya mengehadkan kedatangan pengunjung. Sekarang ini kan endemik jadi berharap tiada lagi limit orang masuk macam tahun lepas.

"Sekarang memang peniaga bangkit isu pagar sebab saya dengar DBKL masih nak pasang di kawasan bazar Ramadan. Mungkin DBKL masih nak pasang pagar kerana tidak mahu ambil risiko," katanya.

Malah, Malik juga memberitahu bahawa penutupan bazar Ramadan pada tahun lalu yang dilakukan secara mengejut iaitu tiga hari sebelum menjelang Aidilfitri sebenarnya menyusahkan para peniaga.

"Tahun lepas kan tiga hari nak raya tiba-tiba tutup sebab kes Covid-19. Jadi ramai peniaga marah. Lepas tutup itu dalam tiga hingga empat bulan jugalah baru selesai isu refund.

"Mereka beri balik duit cagaran RM500. Saya bayar dengan DBKL sekitar RM1,564 termasuk lesen, harga tapak dan kanopi semua disediakan. Kalau fikir-fikir balik memang tidak berbaloi," tambahnya.

Senada dengan pendapat itu, peniaga kuih muih, Wani memberitahu, disebabkan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan pada 2021, kewujudan pagar tersebut sedikit sebanyak mejejaskan keuntungannya.

"Biasalah kalau sebelum ini, pelanggan datang berpusu-pusu tapi sejak pandemik dah ada SOP iaitu pagar. Jadi. perkara itu yang buat pelanggan pun berkurang.

"Mungkin kalau pagar itu tiada pada tahun ini, peniaga akan lagi rasa bersemangatlah nak berniaga sebab banyak pelanggan boleh masuk ke bazar. Kiranya tiada limit," katanya.

Sementara itu, berkenaan isu refund, peniaga pakaian, Afiq mendakwa, kelewatan DBKL dalam memberi jumlah wang cagaran kepada peniaga juga menyusahkan.

"Duit itu dapat cuma lambat saja. Saya dapat semula duit deposit RM500. Cuma biasalah jadi lambat mungkin sebab prosedur kan," jelasnya.

Majoriti sedang mendapatkan respons balas DBKL berhubung dakwaan segelintir peniaga bazar Ramadan berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram