MASA depan Perak FC hanya akan diketahui selepas 1 April apabila tempoh yang diberikan Malaysian Football League (MFL) untuk menyelesaikan isu gaji tamat.
Terdahulu, MFL berkata kepada Majoriti bahawa The Bos Gaurus hanya mempunyai masa sehingga hujung bulan bagi menyelesaikan kemelut kelab itu atau berdepan tindakan.
Mengulas lanjut isu tersebut, bekas pemain Perak FC, Khalid Jamlus berkata, penyokong skuad Seladang hanya perlu tunggu dan lihat sama ada kelab itu dapat diselamatkan.
"Tak perlu cari abang burger, YTL untuk selamatkan Perak. Dah ada yang nak beli.
"Cuma bila dah sampai depan pintu (pemilik baharu) tapi pintu tak dibuka," katanya merujuk kepada usaha untuk mendapatkan pemilik baharu sudah hampir selesai tetapi belum dimeterai.
Sehubungan itu, Khalid berkata, teka teki tentang masa depan Perak FC hanya diketahui pada 1 April.
"Tunggu dan lihat sama ada Perak FC terkubur atau tidak.
"Anda semua nampak apa yang berlaku. Masuk 1 April, kita dah kena undang-undang dari MFL sama ada potong mata atau apa saja hukuman," katanya dalam live di TikTok pada Selasa.
Dalam pada itu, Khalid meminta Perak FC untuk menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain yang kian tersepit.
Ditanya tentang tindakan pemain untuk membuat laporan polis, Khalid berkata, pemain perlu melihat kepada perjanjian kontrak yang ditandatangani dengan kelab.
Sebelum ini media melaporkan, para pemain, pegawai dan kakitangan The Bos Gaurus menerima bayaran setengah bulan gaji walaupun Perak FC pernah membuat kenyataan untuk melangsaikan tunggakan gaji untuk dua bulan terakhir selewat-lewatnya 7 Mac lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram