PERAK FC masih lagi berteka-teki sama ada pasukan itu akan diambil alih oleh pemilik baharu atau sebaliknya walaupun Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memberikan masa sehingga 31 Mac untuk pasukan itu menjelaskan tunggakan gaji pemain dan kakitangan pasukan itu.
Malah sehingga kini, pasukan itu tidak menerima sebarang bukti dana (proof of fund) daripada pihak yang diberitakan berminat mengambil alih kelab Liga Premier tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhammad Yunus Zakariah berkata, pemilik Perak FC ketika ini, Impact Media and Communication (IMC) Sdn Bhd juga telah berbincang dengan pihak terbabit baru-baru ini dan bersetuju dengan sebahagian besar terma-terma dikemukakan.
“Setakat ini kita sudah pun 80 peratus bersetuju dengan terma dikemukakan pelabur, bagaimanapun kita masih menunggu dokumen proof of fund daripada mereka.
“Namun pada masa sama, kami juga ada bercakap dengan pihak-pihak lain juga, mana tahu kalau-kalau last minute ada U-turn. Apa pun, setakat ini maklum balas yang kami terima adalah positif.
“Insya-ALLAH, setelah kami peroleh dokumen berkenaan, semua benda akan berjalan lancar,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Yunus berkata, pihaknya juga akan menghantar permohonan kepada MFL bagi tujuan melanjutkan tempoh menjelaskan tunggakan gaji pemain.
Katanya, tarikh akhir bagi menjelaskan tunggakan itu adalah pada 31 Mac, namun diharap agar tempoh itu dapat dilanjutkan lagi bagi membolehkan tunggakan gaji berkenaan dapat dijelaskan.
“Seperti prosedur MFL, kita akan diberikan tarikh tertentu untuk kemukakan dokumen yang diperlukan tetapi rasanya kami mungkin akan melangkaui tarikh diberikan kerana masih menunggu proof of fund daripada pelabur," katanya. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram