Rizal Ghazali diberi amaran keras, terlepas denda RM25k


  • Podium
  • Rabu, 30 Mac 2022

RIZAL (kanan) terlepas hukuman denda RM25,000, selain diberikan amaran keras oleh FAM supaya tidak mengulangi perbuatannya menolak panggilan skuad kebangsaan pada masa depan. — Sabah FC

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil keputusan untuk tidak mendenda pemain Sabah FC, Mohd Rizal Mohd Ghazali susulan tindakannya yang enggan melapor diri ke kem latihan pusat pasukan kebangsaan pada 14 Mac 2022.

Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, Rizal bagaimanapun diberi amaran keras agar tidak mengulangi tindakannya itu.

"Surat amaran telah dikeluarkan oleh FAM kepada Mohd Rizal agar menghormati panggilan skuad kebangsaan jika tidak mahu dikenakan sebarang tindakan dan Mohd Rizal sudah pun menjawab surat tunjuk sebab kepada FAM.

"Sebagai peringatan tambahan, Mohd Rizal diingatkan agar tampil melapor diri terlebih dahulu dan mengemukakan sebab kepada pengurusan pasukan kebangsaan seandainya ada alasan kukuh untuk menarik diri daripada menyahut panggilan kem latihan pada masa akan datang," katanya.

Terdahulu, Mohd Rizal yang diletakkan dalam Senarai Bersedia pada asalnya telah dipanggil oleh ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon bagi menggantikan pemain Johor Darul Takzim, Mohd Syahmi Safari yang meminta pengecualian untuk tidak melapor diri ke kem latihan pusat kali ini kerana menyambut kelahiran anak kembar tiganya.

Berikutan keengganan Mohd Rizal untuk melapor diri, Pan-gon telah memanggil seorang lagi pemain dari Senarai Bersedia iaitu Ahmad Khuzaimi Piee untuk menggantikan tempat Syahmi dan pemain pertahanan Negeri Sembilan FC itu hadir melapor diri pada 14 Mac 2022.

Difahamkan, keengganan Mohd Rizal berpunca daripada bapanya kurang sihat dan terpaksa mendapatkan rawatan susulan di hospital. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram