Terlepas hukuman berat FAM, ini respons Rizal Ghazali


  • Podium
  • Rabu, 30 Mac 2022

RIZAL kekal tenang di sebalik kontroversi yang menyelubunginya gara-gara menolak panggilan skuad kebangsaan baru-baru ini. — Instagram/Rizal Ghazali

BEK kanan Sabah FC, Rizal Ghazali dilihat seolah-olah sudah mengetahui terlepas dari hukuman Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) apabila memuat naik gambarnya sedang menjalani latihan bersama kelab itu pada Selasa.

Pada masa sama, tonggak kelahiran Baling, Kedah itu juga tenang menjawab pertanyaan bekas rakan sepasukannya bersama skuad Sang Kenari, Khairul Helmi.

"Ijal on," kata Khairul di ruangan komen hantaran Instagram Rizal.

"Khai ok ke tu," balas Rizal.

Pada Rabu, FAM mengesahkan tidak mengenakan sebarang tindakan tegas terhadap Rizal, namun memberikan amaran keras supaya pemain itu tidak lagi mengulangi tindakannya menolak panggilan menyarung jersi skuad kebangsaan.

Terdahulu, Rizal yang diletakkan dalam Senarai Bersedia pada asalnya telah dipanggil oleh ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon bagi menggantikan pemain Johor Darul Takzim, Mohd Syahmi Safari yang meminta pengecualian untuk tidak melapor diri ke kem latihan pusat kali ini kerana menyambut kelahiran anak kembar tiganya.

Berikutan keengganan Rizal untuk melapor diri, Pan-gon telah memanggil seorang lagi pemain dari Senarai Bersedia iaitu Khuzaimi Piee untuk menggantikan tempat Syahmi dan pemain pertahanan Negeri Sembilan FC itu hadir melapor diri pada 14 Mac 2022.

Difahamkan, keengganan Mohd Rizal berpunca daripada bapanya kurang sihat dan terpaksa mendapatkan rawatan susulan di hospital. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram