FAM jawab isu nama Pan-gon 'hilang', hukuman Rizal Ghazali


  • Podium
  • Khamis, 24 Mac 2022

SKUAD kendalian Pan-gon menewaskan Filipina 2-0 pada Persahabatan Antarabangsa Tier 1 di Singapura pada Rabu. — Facebook FAM

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menafikan membuat pusingan-U dalam isu pelantikan pengurus pasukan skuad Harimau Malaya, selepas bersetuju bahawa ketua jurulatih akan turut menggalas tanggungjawab berkenaan.

Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar menjelaskan bahawa ketua jurulatih pasukan kebangsaan baharu, Kim Pan-gon turut memegang jawatan sebagai pengurus pasukan dan tiada perubahan dalam perkara itu.

Beliau berkata, isu ketiadaan nama Pan-gon dalam ruangan pengurus pasukan pada senarai pemain ketika aksi Persahabatan Antarabangsa Tier 1 menentang Filipina pada Rabu timbul kerana masalah dalam sistem Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS).

"Memang kita dah kesan perkara ini...memang betul Pan-gon adalah ketua jurulatih serta pengurus pasukan dan Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar adalah penolong pengurus.

"Disebabkan sistem senarai pemain FAS buat itu, tidak boleh hendak kosongkan ruangan nama, dan hanya ada jawatan itu sahaja. Bukannya kita tukar keputusan (tukar pengurus), tidak ada,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif di Wisma FAM pada Khamis.

Terdahulu, timbul persoalan apabila nama Kamarul Ariffin berada pada ruangan pengurus pasukan dalam senarai pemain aksi Siri Tiga-Negara FAS 2022 itu di Stadium Nasional Singapura.

Skuad Harimau Malaya yang beraksi buat kali pertama di bawah kendalian Pan-gon, mencatatkan kemenangan 2-0 menerusi jaringan Muhammad Akhyar Abdul Rasid pada minit ketiga dan 24.

Malaysia seterusnya dijadual bertemu Singapura pada Sabtu ini (26 Mac) dan kelab tempatan, Albirex Niigata FC pada 28 Mac.

Sementara itu, Mohd Saifuddin berkata, pihaknya belum memuktamadkan keputusan terhadap pemain pertahanan Sabah FC, Mohd Rizal Mohd Ghazali, yang gagal melaporkan diri di kem latihan pusat skuad kebangsaan pada 14 Mac lepas.

"Kita perlukan sedikit masa lagi sebab kita kena beri keputusan yang betul-betul adil bagi pemain dan kita. Buat masa ini belum dapat beri keputusan akhir,” katanya.

Menurut laporan media sebelum ini, Mohd Rizal boleh dikenakan tindakan penggantungan bermain dalam liga domestik selain denda RM25,000, kerana menolak panggilan skuad kebangsaan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram