Skuad Pan-gon ada 'spark plug' lama, sudah tiba masa tarik 'brek tangan'


  • Podium
  • Rabu, 30 Mac 2022

PAN-GON (tengah) dilihat berjaya menerapkan corak permainan yang positif dalam skuad kebangsaan. — Facebook FAM

KAPTEN pasukan bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan dikritik teruk selepas gagal mempamerkan aksi terbaik ketika Harimau Malaya tewas 1-2 kepada Singapura pada Sabtu.

Kegagalan Aidil untuk mengekang kedua-dua jaringan dilakukan oleh penyerang Singapura, Ikhsan Fandi, nyata mencetuskan kemarahan para peminat bola sepak tempatan.

Malahan, ada peminat mahu pemain berusia 35 tahun itu menggantung but daripada pasukan kebangsaan.

Aidil sebelum ini pernah bersara daripada arena antarabangsa pada 2016 sebelum dipanggil semula menyertai skuad kebangsaan pada 2019.

Menurut penganalisis sukan tempatan, Dr Pekan Ramli, sudah tiba masanya Aidil menarik 'brek tangan' daripada pasukan kebangsaan.

"Walaupun saya akui Aidil masih lagi boleh menyaingi pemain pertahanan yang ada di negara kita pada waktu ini, namun bola sepak moden yang pantas ketika ini mungkin menyukarkan dia yang berada di penghujung karier.

"Dia juga perlu akui tentang 'faktor usia' dan serahkan tugas kepada pemain-pemain lebih muda supaya peluang mereka mengisi posisi itu lebih terbuka dan menjadi cepat matang.

"Namun, saya hormat atas kesungguhan Aidil untuk terus menabur bakti bersama pasukan kebangsaan," katanya kepada Majoriti.

PEMINAT berpandangan Aidil tidak sepatutnya lagi bermain di peringkat antarabangsa atas faktor usia. — Facebook FAM

Mengulas lanjut, Pekan berkata, ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon masih dalam proses 'fine tuning' Harimau Malaya.

"Sama macam kita servis kereta. Sampai waktu, kita mesti mahu gantikan 'spark plug' baharu yang lebih berkuasa dan sekali petik, enjin terus menderum.

"Namun, dalam skuad Pan-gon ada juga 'spark plug' lama. Justeru, ia perlu dilaraskan kuasanya atau 'apinya' agar penalaan 'enjin' Harimau Malaya mampu mengaum.

"Memang Pan-gon boleh buang dan gantikan semua 'spark plug' lama dengan yang baharu, namun apa salahnya mencuba dahulu, kalau-kalau 'spark plug' lama itu masih mampu membuatkan enjin Harimau Malaya hebat serta boleh digunakan buat sementara waktu.

"Saya yakin selepas aksi menentang Filipina dan Singapura, Pan-gon sudah mendapat jawapannya bagaimana untuk bergerak laju dan pantas di 'lebuh raya'.

"Cuma dalam bola sepak ini, mengawal bola dan menyerang sepanjang permainan sekali pun, tetapi tidak dapat memenanginya, tiada guna juga. Bola sepak adalah tentang gol, gol dan gol," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram