PEMINAT masih bercakap tentang prestasi pasukan Harimau Malaya selepas dua aksi persahabatan dengan Filipina dan Singapura.
Dalam perlawanan menentang Filipina, Harimau Malaya menunjukkan kelainan tersendiri di bawah kendalian ketua jurulatih baharu Kim Pan-gon apabila mempamerkan aksi bertenaga pada babak pertama untuk mendahului 2-0.
Namun kemasukan beberapa pemain 'otai' termasuk Liridon Krasniqi dikatakan memperlahankan rentak permainan sehingga menyaksikan perlawanan itu tamat dengan jaringan 2-0 sahaja.
Ketika tewas 1-2 kepada Singapura beberapa hari kemudian, Liridon menutup mulut pengkritik apabila dia berjaya menghasilkan gol penyamaan tetapi kritikan beralih pula kepada posisi pertahanan yang dilihat longgar dengan kehadiran pemain lama seperti Aidil Zafuan yang dilihat tidak mampu bersaing lagi dengan lawan kudrat muda.
Rata-rata penyokong mempunyai pendapat tersendiri termasuk mencadangkan beberapa nama untuk menggantikan pemain 'otai' yang disifatkan seperti tiada fungsi dalam skuad kebangsaan.
Antara nama pemain yang kerap disebut peminat dan dikatakan sebagai 'pelengkap' kepada skuad kebangsaan itu ialah pemain tengah dari pasukan Johor Darul Takzim (JDT), Natxo Insa.
Mempunyai pendapat sama seperti rata-rata peminat bola sepak, pemilik akaun Facebook, Hafiz Safnil mengatakan bahawa Naxto merupakan calon yang sesuai berdasarkan reputasi dan pengalaman di atas padang.
"Kim Pan Gon perlu panggil Naxto juga, dia sudah biasa kawal situasi yang memerlukan pertahanan membantu untuk serangan dan pemain tengah, Syamer Kutty Abba tidak biasa dengan situasi sedemikian
"Naxto sudah biasa dengan situasi sebegitu, bahagian pemain tengah bertahan dan bek tengah perlu ditiitkberatkan untuk hentikan serangan lawan," katanya.
Pada pendapatnya lagi, selain Naxto, Malaysia mempunyai ramai pemain tengah yang berkualiti.
"Cukup-cukuplah pakai pemain 'otai' atau naturalisasi lagi, macam tiada fungsi sangat.
"Kalau kacukan boleh diterima kalau mahu ambil," tambahnya lagi.
Sementara itu, pandangan Hafiz mendapat pelbagai reaksi daripada peminat bola di ruangan komen.
Seorang pemilik akaun, Muhamad Nor Izmi berkongsi di ruangan komen menyatakan selain Naxto ada beberapa pemain lain yang perlu dipertimbangkan.
"Pada saya Rodney Calvin (KDA FC), Ryan Lambert (KL City FC), Nazmi Faiz, Hong Wan dan Afiq Fazail (JDT) serta Brendan Gan (Selangor) antara calon yang sesuai untuk pertahanan Harimau Malaya," ujarnya.
Pemilik akaun, Muhd Arif Fahmi juga berpendapat sama, namun padanya Naxto sepertinya memang tidak berminat untuk bermain dengan Harimau Malaya.
"Natxo nampak sangat cara dia tidak mahu main untuk pasukan Malaysia, namun ramai lagi pemain yang boleh tolong Syamer," kongsinya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram