PEMAIN berpengalaman Safiq Rahim menyifatkan prestasi ditampilkan barisan pemain negara pada aksi persahabatan antarabangsa Siri Tiga-Negara FAS di Singapura baru-baru ini, mampu menghadirkan kejayaan buat skuad Harimau Malaya pada saingan Kelayakan Piala Asia 2023, Jun depan.
Bekas kapten skuad negara itu berkata, barisan pemain sudah dapat membentuk keserasian bersama ketua jurulatih Kim Pan-gon biarpun pengendali dari Korea Selatan itu baharu bersama skuad kebangsaan kira-kira dua minggu lepas.
"Menerusi tiga perlawanan persahabatan ini apa yang boleh dikatakan, pasukan ini boleh pergi jauh dan di bawah Pan-gon kami banyak mempelajari benda baharu selain berhasil menambah baik corak permainan kami.
"Kami juga mula faham dengan kehendaknya dalam permainan ingin ditonjolkan. Justeru, daripada keserasian itu saya berharap ia mampu memberi keputusan yang baik pada aksi kelayakan Piala Asia 2023 nanti,” katanya dalam klip audio yang dikongsikan kepada media pada Selasa.
Pemain lincah Muhammad Faisal Abdul Halim berkata, kehadiran jurulatih dari Korea Selatan itu membawa sesuatu perubahan dalam pasukan kebangsaan.
"Bagi saya daripada perlawanan itu memang ada perubahan dirasai namun kami memerlukan sedikit masa untuk memperbetulkan apa yang kurang sepanjang beraksi tempoh hari,” katanya.
Pasukan bimbingan Pan-gon menamatkan siri perlawanan persahabatan di Singapura, yang juga persediaan menghadapi Kelayakan Piala Asia 2023, selepas mencatat kemenangan 3-0 ke atas kelab Singapura Albirex Niigata FC, pada malam Isnin.
Terdahulu, pada siri persahabatan antarabangsa Tier 1 itu, skuad negara mencatat kemenangan 2-0 ke atas Filipina pada Rabu lepas, namun gagal meneruskan momentum kemenangan apabila tumpas 1-2 kepada pasukan tuan rumah, Singapura, Sabtu lepas.
Pada pusingan kelayakan Piala Asia 2023, Malaysia yang berada di ranking ke-154 dunia, diundi dalam Kumpulan E bersama Bahrain di ranking ke-89, Turkmenistan (134) dan Bangladesh (186).
Kesemua perlawanan dijadual berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Sebagai rekod, Malaysia kini dalam misi melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia 2023 selepas kali terakhir beraksi ketika menjadi tuan rumah bersama pada edisi 2007, selain lebih 40 tahun gagal meraih slot automatik sejak edisi 1980 di Kuwait. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram