Mimpi buruk bersama Club Brugge masih 'menghantui' Dion Cools?


  • Podium
  • Selasa, 29 Mac 2022

AKSI Cools ketika menentang Filipina pada Sabtu dikecam hebat peminat Harimau Malaya. — Facebook/FAM

ERA baharu skuad Harimau Malaya di bawah kendalian Kim Pan-gon dilihat bermula dengan agak positif apabila para pemain menampilkan aksi yang baik dengan corak permainan pantas.

Namun terdapat beberapa kelemahan yang jelas dalam skuad baharu ini, antaranya bahagian pertahanan yang goyah terutama bahagian kanan yang sering menjadi 'lubuk' pasukan lawan.

Ketika perlawanan menentang Singapura, kedua-dua gol pasukan jiran itu hadir menerusi serangan balas di bahagian kanan Harimau Malaya yang dikawal Dion Cools.

Ramai penyokong yang merasakan bahawa Cools sering kali meninggalkan posisinya di pertahanan kanan terlalu lama sehingga menyebabkan pasukan lawan mengambil kesempatan dengan melancarkan serangan bahaya dengan kerap di bahagian tersebut.

Namun, pemain kelahiran Kuching, Sarawak itu mungkin gemar naik ke atas akibat kisah silam ketika bersama gergasi Belgium, Club Brugge.

Beliau yang pernah bersinar bersama Club Brugge ketika awal karier bersama kelab itu mengenang kembali saat beliau di Stadium Jan Breydel pada 2015 hingga 2020 sebelum berhijrah ke Midtjylland dalam satu temubual bersama media antarabangsa baru-baru ini.

Menurut Cools, beliau merupakan pemain yang sering diturunkan ketika awal kariernya bersama Brugge namun bergelut mendapatkan tempat selepas dua musim.

Cools merasakan beliau tidak mengambil peluang untuk membuktikan diri dengan secukupnya yang menjadi punca beliau disisihkan.

"Dua musim pertama di bawah Michel Preud'homme saya bermain hampir semua perlawanan, tetapi selepas ketibaan Clinton Mata, saya kehilangan tempat saya.

"Mengimbas kembali tempoh itu, saya perlu mengatakan bahawa saya tidak memanfaatkan sepenuhnya potensi saya," katanya.

Beliau merasakan dirinya boleh memberi lebih lagi ketika bersama Brugge, namun tidak mahu mementingkan diri sendiri dan lebih memikirkan kepentingan pasukan.

"Saya boleh mendapat lebih daripada itu dengan memikirkan lebih banyak tentang diri saya dan kejayaan saya sendiri. Saya lebih memikirkan kepentingan pasukan dan tidak mengambil sebarang risiko untuk membuktikan diri saya dengan lebih lagi.

“Jika saya lebih mementingkan diri, saya fikir saya akan menjaringkan lebih daripada lapan gol. Itu akan kelihatan lebih bagus, dan saya mungkin berada di tahap yang lebih tinggi. Saya melakukan tugas saya tetapi nama saya tidak diperkatakan... dan tiba-tiba saya berhenti bermain. Anda berfikir anda melakukan sesuatu yang salah," katanya.

Beliau ketika ini dipinjamkan ke kelab Belgium, Zulte Waregem untuk semusim dan juga sering memanaskan bangku simpanan dengan hanya melakukan sembilan penampilan setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegra