PELAKON dan penerbit, Datuk Rosyam Nor berkongsi pengalaman tidak boleh dilupakan yang menimpa dirinya apabila dia pernah terlupa membayar zakat.
Rosyam mendedahkan dia sepatutnya memegang salah satu watak dalam filem Anna and The King, seperti yang dijanjikan pengarah lakonan filem itu, Priscilla John.
"Saya fikir ketika itu, ini filem Hollywood, masyuk ni kan. Saya pun mula-mula dah berkira-kira dengan isteri saya. Ni kalau masuk ni sayang, tak lari bayaran RM500,000.
"Kalau RM200,000, dapatlah rumah teres satu tingkat, lagi RM200,000 nak simpan dalam Amanah Saham Nasional, RM50,000 lagi saya nak beli kereta Honda Accord terpakai, lagi RM50,000 I nak belanja sayang..doa sayang, doa-doa," cerita Rosyam menerusi satu perkongsian di PPZ TV.
Cerita Rosyam lagi, selepas dua bulan, Priscilla ada menghubungi untuk memaklumkan bahawa dia tidak berjaya mendapat watak tersebut.
"Selang beberapa hari lepas tu, saya pergi ke masjid di Bangsar untuk menunaikan sembahyang. Saya masuk masjid itu dari pintu, saya nampak ada meja saya terus menggigil.
"Saya nampak macam bayang saya ada kat situ. Saya ada di depan meja itu dengan satu ustaz kat depan saya.
"Apabila saya nampak bayangan saya itu, saya jadi menggelabah. Sebab apa, sebab saya terlupa bayar zakat fitrah saya pada tahun itu," dedah Rosyam.
Disebabkan terlalu apla memikirkan bayaran RM500,000, Rosyam berkata, dia menjadi alpa hingga terlupa untuk menunaikan salah satu daripada lima rukun Islam itu.
"Saya tidak bayar zakat fitrah saya dan keluarga sedangkan sebelum ini, bapa saya itu asnaf, pernah bertahun-tahun tidak bayar zakat.
"Apabila ALLAH bagi kelebihan kepada saya, saya alpa. Imam tu sampai tanya kenapa saya nampak macam ada masalah dan saya beritahu bahawa saya lupa bayar zakat.
"Ketika itu saya rasa muka macam di bawah tapak kaki. Malu sangat malu.
"Dia kata tak boleh buat apa sebab tempoh (bayaran) dah habis. Apabila bergema takbir raya tu, dah diangkat ke langit," katanya.
Rosyam bagaimanapun berkata, kejadian itu memberi hikmah paling besar buat dirinya.
"Pandemik Covid-19 pun satu hikmah besar yang berlaku kepada diri kita semua. Fikirkan yang terbaik.
"Sejak hari tu, saya mula jaga sedekah dan zakat saya. Bukan banyak pun tapi di situlah bermula kehidupan Rosyam Nor dan kehidupan ini bertukar.
"Saya diangkat menjadi Bintang Paling Popular tahun 2002. Masuk akal ke tak masuk akal ni. Budak yang dulu berlengeng, tak pakai baju, tak pakai selipar, rumah lantai tanah, makan bercatu tapi tiba-tiba dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular.
"Tidak masuk akal tapi itulah kuasa ALLAH. Sehinggalah ALLAH bagi saya sedikit demi sedikit. Saya dapat buat perniagaan walaupun tak hebat sangat.
"Tapi, ia lebih hebat daripada kehidupan dahulu. Saya cukup bersyukur," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram