Sejarah silam pensyarah UiTM hina B40 diselongkar


  • Tular
  • Rabu, 30 Mac 2022

HANTARAN status seorang pensyarah UiTM tular yang didakwa menghina golongan B40. — Twitter

NETIZEN Malaysia semenangnya dikenali kerana kepantasan dan kecekapan mereka menyelongkar sesuatu isu yang sedang tular.

Baik cerita Kak Long 7E hinggalah kronologi kematian aktres Thailand, Tangmo Nida, semuanya dalam radar 'jabatan' netizen negara.

Terbaharu, identiti pensyarah Universiti Teknologi MARA yang memarahi seorang mahasiswa B40 gara-gara tidak memiliki komputer 'dilondehkan' netizen.

Menerusi satu ciapan di Twitter, ada netizen menyebarkan foto pensyarah itu bergambar di samping sebuah kereta mewah BMW sambil memegang jambangan bunga.

Turut disertakan satu hantaran status pensyarah itu di media sosial.

"Terkadang saya sensitif tengok rakan-rakan post gambar masakan pagi, petang dengan berbagai-bagai menu masa (pandemik) Covid-19.

"Alahai kasihan mereka yang tidak berkemampuan...," tulisnya menerusi satu hantaran bertarikh 23 Mac 2020.

Semakan Majoriti mendapati akaun media sosial pensyarah terbabit telah dinyah aktif.

Rata-rata netizen yang mengecam pensyarah itu menyifatkan caranya menegur agak kasar untuk diterima generasi milenial pada hari ini.

Seorang bekas pensyarah dan koordinator program di sebuah universiti swasta di Pulau Pinang, Zulaikha Zulkifli menyifatkan tough love tidak sesuai untuk diguna pakai pada era ini.

"Anda merosakkan pengalaman pembelajaran pelajar anda. Anda merosakkan imej seorang pendidik dan ahli akademik dan saya harap anda tidak merosakkan persepsi generasi akan datang ke arah melanjutkan pelajaran mereka.

"Mengejek mereka tidak sepatutnya ada dalam kamus anda. Tough love? Mocking (mengejek)? Demi untuk menguatkan pelajar anda?

"Boomers yang dihormati, kami tidak lagi berada dalam era anda," tulisnya di Facebook pada Khamis.

zulaikha

HANTARAN status Zulaikha di Facebook.

Zulaikha turut berkongsi pengalaman berdepan cabaran mengendalikan pelajar semasa pembelajaran dalam talian ketika pandemik.

"Semasa pandemik, saya menghadapi banyak isu mengenai penghantaran tugasan, sambungan internet, pelajar bekerja kerana kekurangan kewangan, menyara keluarga mereka, dan lain-lain.

"Saya cenderung untuk menjadi agak tegas dan berfikir - jika mereka benar-benar mahukan ijazah, mereka sepatutnya meletakkan lebih banyak usaha," katanya.

Katanya lagi, bagaimanapun, melihat kepada perjuangan, usaha, kesanggupan pelajar untuk tetap menghadiri kelas, dia cuba meletakkan diri di tempat mereka.

"Ya, pensyarah sedang mengikuti kalendar akademik yang perlu mereka ikuti.

"Tetapi, jika saya boleh membantu, saya akan bantu. Walau apapun," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram