TINDAKAN seorang pensyarah yang memarahi pelajarnya kerana tidak mempunyai komputer dan menghina golongan B40 ketika sesi pembelajaran dalam talian tular di media sosial sejak Selasa.
Video yang dirakam salah seorang pelajar itu menunjukkan pensyarah tersebut berang kerana salah seorang pelajarnya menghadiri sesi tersebut menggunakan telefon bimbit.
Menurut pengguna Twitter, toraokun_ yang memuatnaik rakaman berkenaan berkata, wanita itu merupakan pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Seri Iskandar, Perak.
Menerusi video berkenaan, ketika disoal oleh pensyarah itu, pelajar tersebut mengakui bahawa dia tidak mempunyai komputer dan bapanya tidak bekerja manakala ibunya pula sudah meninggal dunia.
Pensyarah itu kemudian bertanya sama ada pelajar itu mempunyai adik-beradik dan menyuruh kakaknya menjual gelang emas untuk membeli komputer.
"Kau cakap dengan kakak kau, kalau dia ada gelang emas... pergi jual gelang emas, pergi beli komputer. Pasal tu kau tak boleh belajar dengan baik sebab kau tiada komputer.
"Lepas ni aku akan ajar kau Excel, pasal tu kau akan jadi dropout student. Semester lima kau (masih) tiada komputer... aku sanggup tiada pakaian, aku ada lima helai sahaja pakaian, the most important is the computer," katanya kepada pelajar itu.
Pensyarah itu juga didakwa menghina golongan B40 dengan menyifatkan golongan berkenaan tidak mementingkan pelajaran.
"Hanya 800 saja beli komputer, apa masalah kau? Pasal itu aku tak boleh duduk dengan orang B40, mereka lebih fikirkan pasal (perkara) lain berbanding pelajaran," katanya.
Tindakan pensyarah itu mendapat kecaman netizen yang menyifatkan kata-katanya sebagai tidak profesional dan kurang ajar.
Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Malaysia, Rasydan Mohd Hassan dalam kenyataannya pada Rabu turut kecewa dengan kejadian itu.
Belum ada sebarang kenyataan rasmi dari UiTM berhubung kejadian itu setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram