PEMAIN naturalisasi negara, Liridon Krasniqi sebelum ini mendapat kritikan pedas daripada peminat bola sepak tempatan selepas menampilkan aksi longlai semasa perlawanan menentang Filipina di Singapura pada 23 Mac lalu.
Namun menerusi perlawanan menentang Singapura pada 26 Mac lalu, Liridon berjaya menjaringkan satu gol walaupun jaringan itu belum cukup untuk membantu pasukan kebangsaan yang tewas 1-2 dalam perlawanan tersebut.
Seperti yang dijangka, walaupun sudah menjaringkan gol, nama Liridon masih mendapat kritikan peminat kerana aksinya yang dilihat belum cukup memberangsangkan.
Tetapi di sebalik kritikan peminat, Liridon tetap mengucapkan rasa syukur kerana berjaya menamatkan kemarau gol bersama dengan pasukan kebangsaan.
TANGKAP layar status Instagram yang dimuat naik Liridon.
"Hadir bersama adalah satu permulaan, kekal bersama adalah satu perkembangan dan bekerjasama adalah satu kejayaan.
"Terima kasih kepada pasukan dan kakitangan yang membantu saya menjaringkan gol pertama bersama skuad kebangsaan.
"Mungkin keputusan itu bukan sesuatu yang dimahukan tetapi kami tetap berusaha. Ada yang lebih baik selepas ini," katanya menerusi satu status akaun Instagram.
Ternyata status Instagram, Liridon itu turut mendapat respons positif daripada rakan sepasukan, antaranya Akhyar Rashid.
TANGKAP layar komen yang ditinggalkan bekas pemain Liverpool, Emre Can.
Turut memberi sokongan positif adalah pemain kebangsaan Thailand, Patrick Reichelt dan bekas pemain Liverpool yang kini beraksi untuk kelab Borussia Dortmund, Emre Can.
Emre memberikan emoji 'tepuk tangan; kepada Liridon susulan kejayaan bekas pemain Kedah dan JDT itu menjaringkan gol dalam perlawanan terbabit. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram