KAPTEN Manchester United, Harry Maguire baru-baru ini menjadi tular selepas dimarahi oleh kapten Liverpool, Jordan Henderson ketika sesi latihan mereka untuk pasukan kebangsaan, England.
Dalam rakaman yang dikeluarkan di akaun Twitter rasmi England, ia telah menunjukkan pemain Three Lions, termasuk Declan Rice, Jack Grealish dan Nick Pope terlibat dalam rutin latihan.
Kedua-dua pemain, Grealish dan Pope berada di bahagian tengah dan mencuba serta menendang bola dari kumpulan pemain yang lebih besar termasuk Henderson dan Maguire ketika mereka mengekalkan penguasaan bola di petak kecil.
Rutin latihan yang dilakukan pada ketika itu kebanyakannya dimainkan di ruang yang sempit dan hanya menggunakan satu sentuhan untuk memastikan bola bergerak.
Henderson yang juga merupakan kapten Liverpool melakukan pengiraan kerana pemain seperti Harry Kane, Jude Bellingham, Tyrone Mings dan Kyle Walker-Peters bermain bola sepak satu sentuhan dengan pantas.
Tetapi selepas hantaran ke-43, Maguire, atas sebab yang tidak diketahui, memutuskan untuk menghentikan kawalan bola apabila penjaga gol Burnley, Pope datang untuk memberi tekanan.
Maguire hanya melakukan dua sentuhan dan tiada satu pun daripadanya adalah hantaran.
Tindakannya itu menyebabkan momentum latihan England terhenti dan perkara itu membuatkan Henderson bingung dan jengkel pada masa yang sama, sekali gus menjadi punca mengapa dia memarahi Maguire.
Walaupun ia tidak lebih daripada sekadar latihan, Henderson nyata berang dengan kapten United itu.
"Apa yang kamu lakukan?" ayat yang terucap dari mulut Henderson sambil merenung kepada Maguire.
Pemain tengah Liverpool itu kelihatan benar-benar marah dengan Maguire kerana dia mengambil latihan itu dengan sangat serius.
Malangnya, video itu telah dipotong sebelum warganet berpeluang untuk melihat bagaimana Maguire bertindak balas terhadap rakan sepasukan itu.
Klip itu telah menjadi tular di media sosial dan mendapat banyak reaksi daripada peminat. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram