Liridon tak capai standard permainan Asia


  • Podium
  • Isnin, 28 Mac 2022

JARINGAN tunggal Liridon (tengah) pada Sabtu gagal memastikan kemenangan Harimau Malaya. — Facebook/FAM

PEMAIN naturalisasi negara, Liridon Krasniqi berjaya menutup mulut pengkritik buat seketika apabila meledak gol tunggal buat Harimau Malaya ketika tumpas 1-2 kepada Singapura dalam aksi persahabatan antarabangsa pada Sabtu.

Liridon yang menerima hantaran Akhyar Rashid dengan tenang mudah merembat masuk gol tersebut pada minit ke-57.

Pemain itu sebelum ini sering kali dikritik kerana gagal mempamerkan aksi cemerlang bersama pasukan kebangsaan.

Cuma, menurut pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Sadek Mustafa, prestasi yang ditunjukkan oleh Liridon pada Sabtu masih jauh jika dibandingkan ketika beraksi bersama Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada musim 2015-2019.

"Kecergasan dan kawalan bolanya masih kurang memberangsangkan, namun lebih baik berbanding aksi di Piala AFF Suzuki 2020 tempoh hari.

"Banyak lagi yang dia perlu tingkatkan untuk mencapai tahap permainan Asia," katanya kepada Majoriti.

Sementara itu, ketika ditanya tentang persembahan bek tengah negara, Aidil Zafuan, Mohd Sadek berkata, pemain Johor Darul Takzim (JDT) tersebut bermain baik dalam mengemudi barisan pertahanan sebelum dikeluarkan.

"Namun, ini eksperimen Kim Pan-gon (ketua jurulatih Harimau Malaya) untuk melihat kombinasi yang baik bagi barisan pertahanan Malaysia.

"Maka, ketika Kelayakan Piala Asia nanti, kita akan dapat melihat kombinasi yang mungkin berbeza atau Aidil akan bermain selama 60 minit saja.

"Bergantung kepada situasi siapa lawan pasukan kebangsaan," ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penghayatan pemain kebangsaan dengan taktikal ketua jurulatih, Kim Pan-gon masih tidak mencapai apa yang diharapkan terutamanya selepas pertukaran pemain dilakukan.

"Terdapat kelemahan perlu ditambah baik oleh pemain terutamanya dalam kawalan bola, hantaran kepada rakan sepasukan serta konsep main secara berpasukan.

"Keseluruhannya, para pemain negara perlu meningkatkan kecergasan mereka dengan konsep permainan pantas menyerang dan bertahan," jelasnya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram