KEKALAHAN skuad bola sepak kebangsaan ketika bertemu Singapura dalam aksi persahabatan antarabangsa pada Sabtu menunjukkan perjalanan Harimau Malaya masih jauh di bawah kendalian ketua jurulatih, Kim Pan-gon.
Dua jaringan penyerang Singapura, Ikhsan Fandi sudah cukup membuatkan semua pihak menyedari masih banyak perlu dilakukan sebelum Kelayakan Piala Asia pada Jun kelak.
Perlawanan itu juga merupakan 'wake up call' kepada beberapa pemain yang jelas tidak menunjukkan prestasi seperti diharapkan oleh para peminat.
Diminta mengulas tentang persembahan skuad negara pada Sabtu, bekas pemain kebangsaan, Hairuddin Omar berkata, banyak kesilapan individu dilakukan dalam perlawanan berkenaan.
"Pemain seperti Dion Cools kerap tidak berada di posisinya. Dia adalah pemain terbaik perlawanan ketika menentang Filipina namun bertemu Singapura, Cools merupakan pemain paling teruk.
"Malahan dua gol tersebut berlaku dari bahagian dia.
"Mohamadou Sumareh juga agak tenggelam, mungkin semalam (Sabtu), dia tidak bermain di posisi kegemarannya namun berdasarkan perlawanan menentang Filipina dan Singapura, dia perlu segera tingkatkan prestasinya.
"Liridon Krasniqi pula mempunyai teknik permainan yang baik. Cuma kadang-kala dia agak perlahan dan menyebabkan momentum pasukan menjadi perlahan.
"Hantaran daripada pemain tengah ke barisan serangan juga harus diperbaiki lagi," katanya kepada Majoriti.
Tambahnya, sudah tiba masa untuk Pan-gon memberi lebih peluang kepada pemain muda untuk mengemudi bahagian pertahanan.
"Pemain-pemain seperti Ahmad Khuzaimi Piee, Dominic Tan, Shahrul Saad, Kenny Palraj dan Irfan Zakaria wajar diberi peluang," ujarnya.
Namun, Hairuddin berkata, banyak perkara positif boleh dilihat dalam dua perlawanan awal di bawah kendalian Pan-gon.
"Para pemain lebih agresif apabila membuat 'pressing'.
"Selain itu, pemain juga nampak lebih berani dan bertenaga. Kita juga banyak mencipta peluang jaringan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram