PEMAIN kebangsaan, Akhyar Rashid sebelum ini mengakui mampu beraksi dengan baik di pentas antarabangsa kerana didedahkan dengan latihan tahap tinggi bersama pasukannya, Johor Darul Ta'zim (JDT).
Menurut Akhyar, meskipun kekurangan minit permainan bersama JDT, corak latihan sedemikian sedikit sebanyak membantu prestasinya.
"Saya juga bermain beberapa perlawanan dalam Liga Juara-Juara Asia tahun lalu.
"Semua itu telah membantu saya untuk mengharungi intensiti perlawanan antarabangsa," katanya.
Akhyar beraksi baik ketika perlawanan persahabatan menentang Filipina pada Rabu apabila meledak dua gol, sekali gus menamatkan kemarau kemenangan skuad kebangsaan terhadap The Azkals dalam tempoh 14 tahun.
Namun, bagi pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Sadek Mustafa, pandangan bahawa pemain JDT boleh menyerlah berbanding kelab lain meskipun kurang mendapat minit permainan, disifatkan kurang tepat.
"Sebenarnya pemain yang terpilih dalam skuad negara hanya bermain dalam beberapa perlawanan bersama pasukan masing-masing.
"Bagi saya, semua pemain yang dipilih sudah melalui fasa persediaan fizikal masing-masing dalam saingan Liga Super dan Liga Premier selama lima minggu.
"Pastinya mereka masih segar dan tidak tertekan dengan keputusan pasukan masing-masing. Malah, mereka bebas dari kecederaan dan berada pada mood yang baik," katanya kepada Majoriti.
Mengulas lanjut, Mohd Sadek berkata, kaedah latihan diterapkan dalam pasukan kebangsaan ketika ini begitu teliti terutamanya melibatkan perlawanan berprestasi tinggi.
"Tatacara dan presentasi yang ditunjukkan berbeza dan ada kelainan berbanding jurulatih sebelum ini.
"Maka kita lihat pemain fokus kepada setiap butiran latihan dan mereka dipantau oleh pakar yang bersama dengan ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon," jelasnya.
Tambahnya, Pan-gon juga profesional dan berkomunikasi dengan setiap pemain atas dasar tanggungjawab serta peranan yang perlu ditonjolkan sewaktu latihan dan perlawanan.
"Selain itu, Pan-gon mampu mengolah kelebihan setiap pemain dengan taktikal permainan yang sesuai dengan pemain sedia ada.
"Barisan kejurulatihan juga menunjukkan mereka jelas tentang Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan cabaran dipertanggungjawabkan.
"Mereka berjaya mengenalpasti kelemahan lampau pasukan negara yang terdiri daripada barisan pemain hampir sama sebelum ini," menurutnya lagi.
Malaysia akan bertemu Singapura bagi melengkapkan aksi perlawanan persahabatan pada Sabtu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram