Pandemik Covid-19 punca e-sukan jadi 'lubuk bookie'


  • eSports
  • Sabtu, 26 Mac 2022

INDUSTRI e-sukan turut terdedah dengan penglibatan bookie. — AFP

PANDEMIK Covid-19 menjadi 'lubuk' bagi sindiket mengatur perlawanan atau lebih dikenali sebagai bookie berikutan impak negatif wabak tersebut terhadap kewangan seseorang individu.

Menurut firma Sportradar Integrity Services yang bekerjasama dengan lebih 100 persatuan sukan dan liga, mengesan 903 perlawanan yang mencurigakan pada 2021.

Jumlah itu merupakan yang tertinggi dicatatkan dalam sejarah penubuhan syarikat tersebut selama 17 tahun.

Bola sepak merekodkan 201 perlawanan yang diatur, diikuti dengan e-sukan iaitu 384 perlawanan dan bola keranjang dengan 498.

Meskipun bookie merupakan sesuatu yang dianggap normal dalam sukan seperti bola sepak, namun angka yang tinggi dicatatkan dalam e-sukan amat membimbangkan.

Khususnya apabila e-sukan yang mempunyai ramai pengikut di negara seperti China dan Korea Selatan serta mempunyai aspirasi untuk menjadikannya sebagai sukan dalam acara Olimpik.

"E-sukan mahu diterima oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) suatu hari nanti dan ia masih merupakan sukan yang baru bertapak di dunia.

"Masalah utama pada masa ini adalah isu struktur melibatkan setiap penerbit kandungan permainan video melakukan perkara yang berbeza, tanpa undang-undang dan peraturan yang betul.

'Perkara paling penting adalah melaksanakan undang-undang dan peraturan yang sesuai untuk kesalahan anti-doping dan mengatur perlawanan.

"Perkara kedua yang mereka perlukan adalah sumber khusus seperti sokongan kewangan yang digunakan untuk integriti dan kakitangan terlatih dalam bidang ini," kata Pengarah Urusan Sportradar, Andreas Krannich.

Menurut Krannich lagi, sesetengah penerbit permainan video atau penganjur kejohanan e-sukan tidak mengambil serius tentang masalah bookie.

"Mereka hanya akan bertindak apabila tercetusnya skandal.

"Kami berharap e-sukan secara keseluruhannya tidak perlu mengalami perkara buruk dan mereka boleh mengambil langkah sekarang untuk membantu menangani isu bookie dan meminimukan risiko pada masa akan datang," katanya. — AFP

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram