E-sukan buat 'debut' Sukan Komanwel 2022


  • eSports
  • Sabtu, 12 Feb 2022

KEJOHANAN itu akan berlangsung di International Convention Centre di Birmingham, England pada 6 dan 7 Ogos depan. — Gambar hiasan/AFP

SUKAN Komanwel akan menampilkan e-sukan sebagai acara perintis buat pertama kali pada edisi ke-22 kejohanan itu pertengahan tahun ini.

Ia bagaimanapun akan dianjurkan sebagai kejohanan berasingan dengan penjenamaan, organisasi pingat dan tadbir urus yang diketuai oleh Persekutuan E-sukan Global.

Menampilkan pesaing dari seluruh negara Komanwel, penganjuran kejohanan itu dibenarkan oleh Lembaga Eksekutif Persekutuan Sukan Komanwel (CGF), untuk diadakan pada masa yang sama dengan Sukan Komanwel.

Presiden CGF, Dame Louise Martin berbesar hati mengumumkan kejohanan itu yang akan berlangsung di International Convention Centre di Birmingham, England pada 6 dan 7 Ogos depan.

"E-sukan terus berkembang secara mendadak dari segi populariti dan penyertaan, terutama dalam kalangan golongan muda, dan kami terus melihat cara untuk meneroka bagaimana ia boleh sejajar dengan Commonwealth Sports Movement.

"Jawatankuasa CGF berharap, menjelang Sukan Komanwel 2026, e-sukan akan menjadi acara yang penuh dan kekal," katanya.

E-sukan juga bakal membuat penampilan sulungnya pada Sukan Asia tahun ini, dengan permainan seperti League of Legends, FIFA dan DOTA 2 akan dipertandingkan.

Buat masa ini, tiada kenyataan rasmi berhubung acara yang bakal dipertandingkan pada kejohanan itu namun Persekutuan E-sukan Global berkata, kejohanan itu akan menampilkan pelbagai kategori permainan terkenal, yang akan diumumkan bulan depan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram