'Harimau pancit awal,' penyokong tahu puncanya


  • Podium
  • Jumaat, 25 Mac 2022

MASIH terlalu awal untuk menilai prestasi pasukan dan tidak adil meletakkan kesalahan itu kepada jurulatih. — Facebook

'HARIMAU pancit awal.' itu antara dakwaan seorang pengguna Facebook yang tidak berpuas hati dengan prestasi pasukan negara kendalian Kim Pan-gon menentang Filipina dalam aksi persahabatan FAS Tri-Nations Series 2022, di Stadium Nasional, Singapura, pada Rabu.

Walaupun menang 2-0 dalam perlawanan itu, tetapi bukan sekadar keputusan dilihat oleh rata-rata peminat.

Menurut pemilik akaun, Zack Rahim, pasukan Harimau Malaya berubah sekelip mata pada separuh masa kedua terutama selepas kemasukan 'pemain-pemain naturalisasi'.

"Harimau Malaya tukar beberapa pemain dan terus kembali kepada Harimau yang lama, penjaga gol, Farizal Marlias mula sibuk dan pemain satu persatu mula alami kekejangan.

"Ya, Harimau Malaya berubah. Mereka jadi sesumpah, berubah dalam sekelip mata. 45 minit pertama mereka pasukan bertaraf Asia. 45 minit kedua mereka jadi pasukan bertaraf Sukan SEA," katanya menerusi satu ciapan pada Khamis.

Tambahnya lagi, perkara itu merupakan adalah pentanda buruk buat Pan Gon yang mana Harimau Malaya tidak ada daya tahan untuk 90 minit.

Dakwaan itu tidak dipersetujui oleh kebanyakkan peminat bola sepak yang lain.

Ada di antara mereka yang mengatakan masih terlalu awal untuk menilai prestasi pasukan dan tidak adil meletakkan kesalahan itu kepada jurulatih.

komen bola 1

Perkara itu dikongsi oleh Mohd Al Fuad yang turut memberitahu, Pan Gon ada sebab tersendiri kenapa dia menurunkan pemain di padang.

"Baru perlawanan pertama, tidak adil untuk kita bagi kesalahan yang berat kepada jurulatih.

"Jurulatih masih belum kenal cara permainan kebanyakan pemain dan sebab itu mereka diturunkan untuk menilai prestasi semasa siapa yang layak untuk bermain," ujarnya.

Tambahnya lagi, dia mengakui ada perubahan permainan selepas pemain gantian masuk padang terutama selepas kemasukan Liridon Krasniqi yang memperlahankan rentak permainan.

"Pemain kita tiada daya tahan kecergasan untuk 90 minit, jadi jurulatih boleh kesan apa masalah yang berlaku dalam pasukan bola sepak Malaysia.

"Percaya pada proses, boleh bagi pendapat tapi untuk menghukum mereka bukan pada masa sekarang," kongsinya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram