Rahsia kemenangan Harimau Malaya lawan Filipina dibongkar


  • Podium
  • Jumaat, 25 Mac 2022

AHMAD Khuzaimi (kiri) percaya kata-kata motivasi daripada peminat juga mempengaruhi prestasinya. — Facebook/FAM

SOKONGAN dan tunjuk ajar daripada rakan sepasukan menjadi faktor di sebalik prestasi memberangsangkan pemain pertahanan skuad kebangsaan Ahmad Khuzaimi Piee pada aksi Persahabatan Antarabangsa Tier 1 menentang Filipina, Rabu lepas.

Ahmad Khuzaimi berkata, sokongan diberikan rakan sepasukan terutama pemain lebih berpengalaman amat membantunya menyesuaikan diri pada aksi itu yang juga penampilan antarabangsa keduanya sejak kali terakhir menyarung jersi skuad Harimau Malaya pada 2016.

Menurut pemain Negeri Sembilan FC itu, kata-kata motivasi daripada peminat juga mempengaruhi prestasinya pada aksi tersebut yang menyaksikan beliau memainkan peranan penting di bahagian benteng pertahanan dalam kejayaan menewaskan Filipina 2-0.

"Apa yang saya boleh cakap tentang perlawanan menentang Filpina, komitmen semua pemain di padang memberikan yang terbaik.

"Ini penampilan kedua saya bersama skuad kebangsaan tetapi tunjuk ajar daripada senior memainkan peranan untuk diri saya bermain (baik) pada malam itu selain sokongan rakan sepasukan lain turut beri banyak pengaruh (prestasi saya)," katanya pada sidang media praperlawanan menentang Singapura, pada Jumaat.

Aksi berdepan Singapura yang dijadual berlangsung di Stadium Nasional di republik itu, malam Sabtu adalah perlawanan kedua perlu ditempuh skuad bimbingan Kim Pan-gon bagi melengkapkan saingan Siri Tiga-Negara FAS yang berlangsung di republik itu.

Terdahulu, anak buah Pan-gon cemerlang menundukkan Filipina pada aksi sulung di Stadium Nasional sekali gus menamatkan badi lima keputusan seri bertemu skuad "Azkals” sejak 2012.

Malah, pada pertembungan itu keputusan Pan-gon menurunkan Ahmad Khuzaimi dalam kesebelasan utama bergandingan dengan pemain Johor Darul Takzim (JDT) Shahrul Mohd Saad turut menarik perhatian ramai yang tidak menjangkakan beliau dipilih selepas sekian lama tidak beraksi di pentas antarabangsa.

Sementara itu, Ahmad Khuzaimi berazam meneruskan prestasi memberangsangkan pada perlawanan menentang Singapura sekiranya sekali lagi diturunkan dalam skuad utama negara pada Sabtu.

Pada sidang media sama, Pan-gon mahu meneruskan ujikajinya dengan anak-anak buahnya pada pertemuan dengan Singapura malam Sabtu.

Biarpun pertemuan dengan Skuad Singa itu adalah penting, Pan-gon berkata, beliau dan staf kejurulatihan mempunyai cabaran lebih penting untuk membentuk skuad yang mantap bagi mengharungi Kelayakan Piala Asia 2023 di Kuala Lumpur, Jun depan.

Justeru, jurulatih kelahiran Korea Selatan itu mahu menggunakan perlawanan yang dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional untuk menilai keupayaan pemain selain daripada kemajuan pendekatan taktikal permainan pasukan yang diterapkan sejak ketibaan beliau bulan lepas.

"Perlawanan itu boleh menjadi ‘derby’ tetapi ia penting, amat penting kerana selaku seorang jurulatih setiap perlawanan penting tanpa keputusan yang baik kita tidak boleh bercakap mengenainya tetapi saya fikir yang lebih penting ialah membina pasukan ini, kami meletakkan sasaran untuk Kelayakan Piala Asia dan seterusnya mara ke piala AFF.

"Kami perlu membina satu asas yang amat kukuh, saya perlu lebih mengetahui mengenai sifat dan keupayaan pemain dalam keadaan tertentu. Saya tidak terlalu fokus untuk memenangi perlawanan esok tetapi untuk memaksimumkannya sebagai perlawanan terakhir untuk melihat bagaimana reaksi pemain terhadap taktik kami dalam perlawanan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, penting bagi skuad negara memenangi perlawanan malam Sabtu dengan menamatkan siri perlawanan persahabatan itu dengan cemerlang selepas menguasai dan memenangi perlawanan menentang Filipina 2-0 di venue yang sama Rabu lepas.

Pan-gon mengesahkan ada pemain mengalami kecederaan ringan dan tiada yang serius setakat ini.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Singapura, Nazri Nasir menjangkakan skuad bimbingannya akan menghadapi tentangan sengit daripada Malaysia.

"Setiap kali bertemu Malaysia akan ada persaingan dan juga sesuatu yang istimewa. Kami melihat bagaimana Malaysia beraksi (menentang Filipina) mereka sangat teruja di bawah jurulatih baharu, mereka beraksi dengan baik dan saya jangkakan ia bakal menjadi perlawanan yang sukar. Sudah tentu kami mempunyai strategi esok dan pasukan terbaik akan menang,” katanya.

Selepas bertemu Singapura, skuad bimbingan Pan-gon akan menamatkan siri perlawanan persahabatan di Singapura, yang juga persediaan menghadapi Kelayakan Piala Asia 2023 Jun nanti, dengan bertemu kelab tempatan Albirex Niigata FC pada 28 Mac ini. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram