Pemain bukan mesin, tapi manusia — Pan-gon


  • Podium
  • Rabu, 23 Mac 2022

BARISAN pemain skuad kebangsaan yang berlepas ke Singapura semalam untuk menjalani tiga perlawanan persahabatan bermula hari ini. — Facebook/FAM

PEMINAT bola sepak tanah air diminta bersabar dengan proses ‘penambahbaikan’ yang sedang dilakukan barisan kejurulatihan Harimau Malaya diketuai pengendali baharu, Kim Pan-gon.

Jurulatih kelahiran Korea Selatan itu berkata, barisan pemainnya masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan strategi taktikal dan permainan yang baharu.

“Latihan dan permainan sebenar sangat berbeza. Saya dapat lihat kualiti mereka tetapi kita perlu bersabar, pemain bukan mesin, mereka manusia.

“Mereka juga perlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan maklumat baharu pada sesi latihan. Kita berkomunikasi dengan baik untuk membantu mereka.

“Saya sudah melihat kualiti mereka. Kita perlu menunggu dan bimbing mereka dengan cara yang betul,” katanya.

Pan-gon dan barisan kejurulatihannya mula menilai prestasi Harimau Malaya sepanjang kem latihan pusat selama lapan hari di Stadium Nasional, Bukit Jalil yang berakhir pada Isnin.

Kem latihan itu diadakan sebagai persiapan menghadapi tiga perlawanan persahabatan di Singapura bermula Rabu selain persediaan awal bagi menghadapi Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun depan.

Untuk rekod, Malaysia dijadual menentang Filipina pada Rabu sebelum berdepan Singapura (Sabtu) dengan kedua-dua aksi itu berstatus perlawanan Persahabatan Antarabangsa Tier 1.

Selepas menentang Filipina dan Singapura, Harimau Malaya akan menamatkan siri aksi persahabatan di Singapura bertemu kelab Liga Singapura, Albirex Niigata FC pada 28 Mac. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

sukan, podium, fam, bola sepak, robot