Aliff Syukri puji DSV, masih usaha keras walau berusia 50 tahun


  • Hiburan
  • Rabu, 23 Mac 2022

ALIFF Syukri (kiri) memuji Vida atas usaha kerasnya walaupun sudah berusia 50 tahun.

LAGU baharu usahawan kosmetik, Datuk Seri Vida yang berjudul Ku Ikhlaskan nampaknya semakin mendapat perhatian peminat dan kini sudah mencatat lebih sejuta tontonan di Facebook.

Namun di sebalik kejayaan mencapai jumlah tontonan yang tinggi itu, masih ramai netizen yang mengecam usaha Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman, 50.

Cuma bagi rakannya yang juga usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri berkata, dia sebagai penonton dan pendengar cukup berbangga dengan penghasilan lagu baharu dan video klip Ku Ikhlaskan.

"Sebagai penonton dan pendengar, saya memang nampak usaha dan kerja keras (DSV). Dia memang hebat sebab usianya pun dah mencecah 50 tahun tapi masih berusaha.

"Kadang-kadang orang memang pandai mengecam tetapi mereka tidak tahu macam mana dia sendiri bersusah-payah.

"Kami tidak ada pernah dijemput untuk promosi lagu di stesen radio atau membuat persembahan di pentas.

"Sebaliknya kami ni mengeluarkan lagu hanya untuk dikecam tanpa sebarang balasan. Kita sekadar nak menghiburkan sahaja.

"Jadi bila ada netizan yang menghargai karya kami, sudah pasti itu adalah saat yang paling indah," katanya kepada Majoriti.

Dalam pada itu, mengulas mengenai lagu terbaharunya pula, Aliff berkata, perkara itu dalam perancangan kerana dia mahu pastikan lagunya benar-benar berkualiti.

Ujarnya, dia tidak mahu hasil kerja seninya kelihatan murah dan inginkan lagu yang sesuai dengan karakternya.

"Tak lama lagi saya akan tampil dengan lagu baharu tetapi tak boleh ulas lanjut. Kena tunggu," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram