KONTRAK pemain Liverpool, Mohamed Salah bakal berakhir pada 2023 dan bintang Mesir itu menjadi buruan kelab lain seperti Juventus.
Masa depan Salah menjadi tanda tanya selepas tiada persetujuan dicapai untuk melanjutkan tempoh kontraknya.
Sebelum ini, pengurus Juventus, Massimiliano Allegri mengakui pasukan itu bersiap sedia untuk mengeluarkan dana besar bagi membawa Salah ke Turin.
Juventus juga turut berdepan kemungkinan kehilangan khidmat pemain Argentina, Paulo Dybala musim depan dan Salah merupakan calon utama menggantikannya.
Sekiranya perpindahan itu direalisasikan, Liverpool perlu mencari pengganti Salah bagi mengimbangi kekuatan pasukan itu yang selama ini 'bergantung harap' kepada pemain Mesir itu di bahagian serangan.
Nama pemain Barcelona, Ousmane Dembele dikaitkan dengan perpindahan secara percuma ke Liverpool musim depan.
JOSE Enrique mendesak Klopp segera membawa masuk Dembele ke Anfield.
Malahan, bekas pemain pertahanan Liverpool, Jose Enrique tanpa berselindung mengakui mahu pengurus Jurgen Klopp membawa masuk Dembele ke Anfield.
"Pemain yang baik untuk The Reds dan juga percuma. Klopp mengenalinya dengan baik," kata Enrique di Instagram.
Kontrak Dembele bersama Barcelona bakal tamat akhir musim ini selepas gagal memeterai perjanjian baharu pada Januari lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram