WARTAWAN tersohor, James Pearce telah mendedahkan apa yang dilakukan bintang The Reds, Mohamed Salah di dalam terowong serta-merta selepas mengalami kecederaan ketika menentang Brighton dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Sabtu.
The Reds memperoleh tiga mata penting di tempat lawan apabila menewaskan Brighton 2-0 di Stadium Falmer dengan skuad kendalian Jurgen Klopp itu cuma dibezakan tiga mata di belakang pendahulu EPL, Manchester City yang kini mengutip 69 mata.
Gol daripada Salah dan pemain baharu, Luis Diaz pada kedua-dua separuh masa memastikan kemenangan Liverpool, namun ia terpaksa dibayar dengan harga tinggi apabila Salah terpaksa dikeluarkan kerana kecederaan.
Klopp memilih untuk mengeluarkan Salah pada minit ke-65 selepas penyerang Mesir itu memerlukan rawatan, sebelum Pearce berkongsi sesuatu yang menarik yang dilakukannya di dalam terowong sejurus selepas keluar.
Menurut wartawan itu melalui Twitter, Salah melemparkan bajunya kepada penyokong Brighton dan ia disifatkan petunjuk isyarat baik mengenai moodnya selepas mengalami kecederaan.
Pearce menjelaskan: "Ketika Mohamed Salah menuruni terowong, peminat Brighton meminta bajunya, Salah kemudiannya tersenyum, menanggalkan jersi dan melemparkan jersi itu kepadanya."
Semangat kesukanan pemain berusia 29 tahun itu untuk menghormati permintaan penyokong Seagulls boleh menjadi petunjuk bahawa kecederaannya mungkin tidak serius seperti yang dibimbangkan penyokong Liverpool menjelang pertemuan berdepan Arsenal di tempat lawan pada 17 Mac. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram